Sunday, July 19, 2026

KPT, KPM perkenal Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035

RPN 2026-2035 yang akan diluncurkan oleh Perdana Menteri itu sebagai iltizam memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan rancangan satu dekad pendidikan secara bersepadu bagi tahun 2026-2035.

KPT dan KPM dalam kenyataan bersama berkata, dinamakan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 itu merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi.

RPN 2026-2035 yang akan diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai iltizam kerajaan Madani dalam memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.

Menurut kenyataan itu, di peringkat KPT, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 adalah dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.

RPTM itu, katanya, sebagai kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) sebelum ini.

“RPTM 2026-2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 orang pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan, merangkumi para sarjana, tokoh akademik, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” kata kenyataan itu hari ini.

Katanya, RPTM 2026–2035 merupakan dokumen yang bersifat dinamik (living document) iaitu fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi. 

“Fokus utama pelan ini turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara (nation-builders) yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat (humanity-centric). 

Kenyataan itu berkata, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) turut akan menjadi pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan. 

“Pada masa yang sama, RPTM 2026-2035 turut memfokuskan kepada keterangkuman akses dengan usaha memperluas pendidikan tinggi serta pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau,” katanya.

Sementara iru, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui KPM pula akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara, selaras dengan Visi KPM: Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Katanya, rancangan tersebut digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, dengan penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan danpembangunan potensi murid.

Selain itu, transformasi pendidik, pemantapan prasarana dan infostruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian turut diberi penekanan.

“Pelaksanaan RPTM 2026–2035 dan RPM 2026–2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026–2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal.insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan