KERAJAAN tidak mempunyai masalah untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan syarat ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selagi UEC tidak menepati ciri tersebut, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional.
“Sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum, bukanlah mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional.
“Kerana itu kita percaya, satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum yang direka bersumber kearifan tempatan dan diimbangi dengan standard antarabangsa,” katanya hari ini.
Beliau menegaskan, sebagai sebuah negara yang berdaulat, sistem pendidikan mestilah dibina selaras dengan aspirasi nasional.
“Ia mesti disandarkan pada misi, nilai, kepentingan dan cita-cita nasional. Dan ia mesti dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan kepentingan kaum berlainan, kerajaan tidak pernah menghalang UEC dilaksanakan.
Buktinya, tambah beliau, sijil lepasan sekolah menengah Cina persendirian itu telah dilaksanakan oleh Dong Zong sejak 1975 tanpa sebarang masalah.
“Yang menjadi isu ialah pengiktirafan kelayakan tersebut,” katanya Mohamad yang juga Menteri Luar.
Sementara itu, Mohamad mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan pendidikan negara.
“Ia adalah satu-satunya arena untuk anak-anak kita, dari pelbagai bangsa, belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah.
“Tetapi jika ada rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional itu, maka mereka mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC. Itu tiada siapa akan menghalang,” katanya.
Bagaimanapun, tegas beliau, janganlah kerajaan dipaksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional.
“Bagi tujuan kemasukan ke universiti, ia tidak menjadi masalah. Ia di terima di kebanyakan universiti di Malaysia dan di luar negara,” katanya.
Mohamad berkata, selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan akan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya. — Edisi 9

