SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti penyelesaian isu liputan rangkaian komunikasi yang kurang memuaskan di Kampung Sungai Relai, Gua Musang, Kelantan.
Menurut MCMC, kampung tersebut didapati hanya mempunyai satu menara komunikasi setinggi 76 meter tetapi cuma menempatkan peralatan gelombang mikro untuk menghubungkan dua menara di lokasi lain, dan tidak menyediakan liputan rangkaian kepada pengguna di sekitar.
“Bagi menilai tahap kualiti perkhidmatan selular di kawasan berkenaan, satu ujian turut dilaksanakan. Hasil ujian mengesahkan tiada liputan di kawasan tersebut.
“Oleh itu, MCMC telah mengenal pasti beberapa langkah bagi menangani masalah liputan komunikasi kurang memuaskan di kawasan tersebut,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.
Katanya, antara langkah diambil ialah mengeluarkan Notis Suruhanjaya di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada semua penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi piawaian ditetapkan untuk penyediaan liputan di kawasan tersebut.
Selain itu, jelas MCMC, pihaknya juga telah mengenal pasti tapak cadangan menara baharu yang akan memberikan liputan lebih menyeluruh kepada penduduk setempat melalui pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan datang.
“MCMC turut berbincang dengan penyedia perkhidmatan untuk beri pertimbangan agar menara sedia ada di kawasan tersebut dinaik taraf kepada liputan 4G menggunakan sambungan gentian optik yang lebih stabil,”katanya.
MCMC akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek tersebut dan komited untuk memastikan penduduk di Kampung Sungai Relai mendapat akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti. – Edisi 9

