MAJLIS Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bermula 1 Jun ini sepertimana diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, semalam.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata, pindaan tersebut merupakan reformasi penting dalam usaha memperkukuh kerangka perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di negara ini.
Menurut beliau, antara perubahan utama yang memberi manfaat kepada pengguna ialah pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78) yang sebelum ini sering menimbulkan kekeliruan dalam pengiraan faedah pinjaman.
Sebaliknya, sistem baharu akan menggunakan Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) serta kaedah pengurangan baki (reducing balance method) yang dianggap lebih telus, adil dan mencerminkan baki sebenar pinjaman.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi gambaran yang lebih jelas kepada pengguna mengenai kos sebenar pinjaman, malah memberi keadilan kepada mereka yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Armizan berkata, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang diluluskan di Parlimen pada tahun lalu akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun depan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem kredit negara.
Beliau berkata, pindaan tersebut antara fokus agenda gerakan kepenggunaan pada tahun ini yang melibatkan reformasi undang-undang berkaitan hak dan kepentingan pengguna.
Dalam masa sama, Mohd Khair berkata, MPPN turut menyokong langkah pemodenan dalam urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik.
Beliau berkata, penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja meningkatkan kecekapan proses dokumentasi malah mampu mengurangkan risiko penipuan melalui kaedah pengesahan identiti peminjam yang lebih sistematik.
Tambah beliau, sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan akta tersebut lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi itu dengan lebih segera.
“Langkah ini khususnya penting dari segi meningkatkan ketelusan pengiraan faedah serta memastikan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman,” ujarnya. — Edisi 9

