Tuesday, July 21, 2026

BDR: Elakkan kesan negatif kepada isi rumah, peniaga kecil

Pelaksanaan BDR sepenuh masa boleh menjejaskan pendapatan pengusaha kafeteria, gerai makanan dan perkhidmatan sokongan yang bergantung kepada kehadiran pekerja pejabat.

Mesti Baca

CADANGAN pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dalam sektor awam sebagai langkah menangani kenaikan harga minyak global perlu diteliti secara menyeluruh agar tidak memberi kesan negatif kepada isi rumah dan perniagaan kecil.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr. Zairihan Abdul Halim berkata, walaupun BDR mampu menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kesesakan trafik, pelaksanaannya secara sepenuh masa berpotensi memindahkan beban kos kepada rakyat.

Menurut beliau, pengalaman semasa pandemik COVID-19 menunjukkan perbelanjaan elektrik isi rumah meningkat lebih 20 peratus apabila pekerja melaksanakan BDR.

“Jika BDR sekali lagi dilaksanakan secara sepenuh masa untuk satu tempoh yang panjang, hal ini berpotensi menyumbang kepada beban peningkatan perbelanjaan utiliti isirumah di samping tekanan kos lain yang timbul sepanjang penjawat awam bekerja di rumah.

“Dalam situasi ini, penjimatan yang terhasil daripada pengurangan penggunaan petrol berkemungkinan tidak dapat mengimbangi peningkatan perbelanjaan utiliti isirumah serta perbelanjaan lain yang berkaitan,” katanya hari ini.

DR ZAIRIHIN ABDUL HALIM

Dalam masa sama, Zairihan berkata, pelaksanaan BDR sepenuh masa juga boleh menjejaskan pendapatan perusahaan mikro dan kecil seperti pengusaha kafeteria, gerai makanan dan perkhidmatan sokongan yang bergantung kepada kehadiran pekerja pejabat.

“Kehilangan kelompok pelanggan secara mendadak berisiko mewujudkan kejutan kewangan kepada peniaga kecil yang sebahagiannya masih dalam proses pemulihan pasca-pandemik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zairihan menjelaskan, langkah BDR yang dilaksanakan di beberapa negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Vietnam adalah sebahagian daripada strategi mengurangkan kebergantungan kepada minyak import susulan ketidaktentuan harga global.

Namun, beliau berpandangan Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih seimbang memandangkan struktur ekonominya berbeza.

“Model kerja hibrid seperti tiga hari di pejabat dan dua hari di rumah (model 3+2), atau kaedah penggiliran kehadiran pekerja di pejabat yang telah diamalkan oleh syarikat sektor swasta di Malaysia adalah pendekatan yang lebih berhemat,” katanya.

Tambah beliau, sebarang pelaksanaan dasar juga perlu mengambil kira kesesuaian jenis pekerjaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas.

Katanya, BDR bukan sekadar isu penjimatan tenaga, tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem ekonomi termasuk isi rumah dan perniagaan kecil. Sebelum ini kerajaan meneliti cadangan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam bagi menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana dan krisis kesihatan awam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan tersebut akan diteliti oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata, beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina telah mengumumkan langkah berjaga-jaga antaranya BDR bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid susulan konflik di Asia Barat. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan