KESEMUA 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penarikan balik sokongan itu kerana mereka sebulat suara hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, mereka sangat berdukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku melibatkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
“Sebagai sebuah parti yang sangat menghormati Institusi Adat dan Perlembagaan, kami tidak akan sesekali mengambil pendirian untuk mencampuri urusan yang berkaitan.
“Sebagai makluman, kami Exco daripada UMNO/BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat Kerajaan Negeri, dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum,” katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.
Hadir sama kesemua ADUN BN terbabit.
Jalaluddin berkata, Aminuddin sewajarnya memainkan peranan dan menggunakan kebijaksanaan beliau sebagai Menteri Besar dalam krisis ini.
Katanya, krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan Kerajaan serta keharmonian rakyat.
Beliau berkata, UMNO/BN Negeri Sembilan menegaskan mendokong penuh serta mempertahankan Institusi Adat dan perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Mereka juga, katanya, mahukan Kerajaan yang stabil supaya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam pentadbiran Negeri, sekaligus dapat memberikan fokus kepada objektif mensejahterakan rakyat dan ekonomi Negeri.
Jalaluddin berkata, pemakluman rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan juga Setiausaha Dewan Undangan Negeri hari ini. — Edisi 9

