28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Suami isteri disiasat ‘scam’ baju raya – KPDN

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEPASANG suami isteri ditahan selepas gagal membekalkan baju raya yang dijual secara atas talian yang melibatkan transaksi ratusan ribu ringgit.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki menuntut atau menyetujui terima bayaran tanpa niat bagi membekalkan pakaian yang dijual secara dalam talian pada 11 Mei lalu.

Katanya, penahanan itu dilakukan di pejabat KPDN cawangan Manjung, Perak susulan siasatan di atas aduan orang awam berhubung penjualan pakaian secara dalam talian sempena Hari Raya Aidilfitri yang tidak wujud.

“Pengadu membuat pembelian bagi sepasang baju kurung setelah melihat tawaran iklan baju kurung di Facebook milik suspek. Namun, setelah pembayaran dilakukan sehingga tempoh aduan dibuat, baju kurung yang dibeli tidak diterima pengadu.

“KPDN berjaya mengesan maklumat suspek seterusnya siasatan dilakukan ke atas individu terbabit yang juga pemilik syarikat itu. Setelah rakaman percakapan dilakukan, KPDN menahan dua individu berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Untuk rekod, KPDN menerima sebanyak 100 aduan dari seluruh negara berkaitan penipuan jualan yang dilakukan secara atas talian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek menerima wang daripada pelanggan melalui akaun bank syarikat membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit.

Beliau berkata, KPDN turut menyita peralatan elektronik yang ditemui untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,700.

“Kedua-dua suspek telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Manjung bagi permohonan reman. Majistret telah membenarkan tempoh empat hari reman bermula 12 sehingga 15 Mei.

“Kes disiasat di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] bagi siasatan menyeluruh ke atas pengiklanan dan transaksi kewangan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan