30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Sambutan Aidilfitri di 6 negeri gelojoh, keterlaluan – PN

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan keputusan kerajaan Pusat untuk mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di enam negeri sebagai gelojoh dan keterlaluan.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana sambutan itu hanya diadakan di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja.

Katanya, tindakan tersebut pastinya mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan sambutan itu diadakan.

“Jika dilihat dari sudut mana pun, keputusan Putrajaya ini jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat mencolok mata, selain tidak wajar dipertahankan.

“Ini kerana (penganjurannya) tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan Pusat merancang mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bergilir-gilir di enam negeri bermula 29 April di Kedah dan dijadual berakhir pada 14 Mei di Selangor. 

Selain itu, majlis turut dijadual berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, majlis sambutan itu melanggar konvensyen dan adab hubungan antara Kerajaan Pusat dan negeri-negeri daripada segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing. 

Advertisements

Katanya, tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dan jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tidak akan menyumbang kepada hubungan baik antara kedua-dua belah pihak. 

“Keadaan ini tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, PN percaya sambutan Aidilfitri yang berlebih-lebihan seperti itu sangat berlawanan dengan penyataan dasar dan komitmen Putrajaya untuk berjimat cermat bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Katanya, ini seperti yang didakwa terbeban dengan hutang, salah pengurusan dan pembaziran kerajaan terdahulu. 

“Ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri di Parlimen bahawa hutang dan liabiliti kerajaan kini ialah sebanyak RM1.5 trilion atau kira-kira 82 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“PN juga merakamkan kebimbangan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan dalam penganjuran majlis sambutan ini kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi. 

“Kerajaan Pusat perlu memberi jaminan itu tidak berlaku selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa, penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diwarwarkannya sebelum ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bekas kakitangan Utusan dapat persetujuan Mahkamah Persekutuan

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan