YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir rakyat yang bersikap kurang ajar dengan mengapikan perkauman dan agama sehingga merosakkan perpaduan negara.
Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri, Seri Paduka Baginda bertitah, sikap kurang ajar sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri tidak boleh diterima.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim mengingatkan agar seluruh rakyat negara ini tidak melupakan Lima Prinsip Rukun Negara khususnya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan.
“Di manakah kekurangannya kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini sehingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?
“Masih segar lagi tentang stokin tertera kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbalik, ada pula pijak Al-Quran dan kedengaran juga golongan yang kurang ajar di masjid, serta mulut dan jari celupar yang sewenang-wenangnya mengapi-apikan kebencian, kemarahan dan perpecahan.
“Kita tidak boleh terima orang yang kurang ajar, sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza, mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri,” titah Seri Paduka Baginda dalam perutusan tersebut hari ini.
Titah Sultan Ibrahim, Baginda percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tahu untuk membawa diri dengan adab yang baik dalam kehidupan seharian dan suara majoriti ini mesti mengatasi serta mendiamkan suara yang tidak beradab.
“Ingin saya ingatkan kepada semua akan pepatah ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ – tatkala negara lain mengalami peperangan, kita harus bersyukur dengan keamanan yang sedang kita nikmati,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut meningatkan pihak berkuasa agara berhemah dalam pengurusan isu-isu sensitif dengan mengambil kira semua aspek berkaitan, serta tiada ruang untuk kesilapan.
“Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara.
“Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, sempena 1 Syawal yang diraikan hari ini, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia mendoakan semoga sekalian rakyat dan seluruh negara dilindungi daripada musibah, serta dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang kukuh.
“Berhati-hatilah di jalan raya dan makan dengan berhemah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” titah Seri Paduka Baginda. — Edisi 9

