29.7 C
Kuala Lumpur
Monday, September 9, 2024

PRK Mahkota: BN akan ketengahkan muka baharu – Zahid

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) akan mengetengahkan muka baharu sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, nama calon itu akan diumumkan selepas perbincangan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan minggu depan.

“Insya-Allah, calon muka baharu,” kata Timbalan Perdana Menteri selepas menyampaikan ucaptama pada Program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO mengulangi pendiriannya bahawa kerusi tersebut harus ditandingi oleh parti yang menyandang kawasan berkenaan.

“Prinsip pertama ialah jika kerusi tersebut dipegang oleh sesebuah parti, maka parti itulah yang akan bertanding. Prinsip ini sangat dihormati oleh parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini juga merupakan asas yang akan kita gunakan apabila meletakkan calon di DUN Mahkota nanti,” katanya.

Sementara itu Pakatan Harapan (PH) mengesahkan tidak akan meletakkan calon dalam PRK Mahkota.

Advertisements

Pengesahan itu dibuat Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui kepemimpinan tertinggi PH dalam bermesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi PH, minggu lalu.

“PH akan turun memberi sokongan dan dukungan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

5 tahun pasca-COVID-19: Cabaran dalam sistem pendidikan

Saudara Pengarang Penularan novel coronavirus 2019 (COVID-19) atau 2019-nCoV pada Disember 2019 di Wuhan, China memberi satu pengalaman yang tidak...

Lagi Artikel Berkaitan