BARISAN Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang berlangsung hari ini.
BN yang diwakili oleh Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani menang dengan majoriti 3,352 undi mengatasi lawannya, Mohd Rizwadi Ismail daripada Pas.
Pegawai Pengurus PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud ketika mengumumkan keputusan itu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Gua Musang berkata, Azmawi Fikri dari kerajaan Perpaduan memperoleh 9,091 undi mengatasi Rizwadi yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memperoleh 5,739 undi.
Beliau berkata, peratusan pemilih yang keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing ialah 73.88 peratus manakala jumlah undi yang ditolak sebanyak 135 undi.
Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepercayaan yang diberikan bukan sahaja satu amanah tetapi juga tanggungjawab besar yang akan dilaksanakan sebaiknya.
“Dengan mandat ini, kita raikan dengan penuh tawadhu’ dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN akan tetap diteruskan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.
Sebelum itu, Azmawi Fikri dalam ucapan di hadapan para penyokong BN berkata, kemenangan yang diperoleh beliau merupakan kemenangan bagi UMNO dan BN keseluruhannya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang datang dari seluruh negara untuk membantu memastikan kemenangan beliau di kerusi tradisi BN itu.
“Kejayaan ini merupakan kejayaan kita UMNO dan BN. Tiada anda semua tiada saya di sini,” katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 1,000 penyokongnya di Bukit Cekati, Gua Musang malam ini.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi. – Edisi 9