BARISAN Nasional (BN) wajar untuk menilai semula peranannya dalam Kerajaan Madani susulan siri kontroversi yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak akhir-akhir ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, isu mafia korporat, serangan terbuka oleh bekas kepimpinan parti dan isu wang perlindungan menambah luka imej kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa yang sama, beliau berkata, Anwar selaku Presiden PKR pula kelihatan garang dalam majlis awam namun membisu apabila kontroversi melanda partinya.
Justeru, kata ADUN Rengit itu, adalah amat wajar parti-parti dalam Kerajaan Madani, khususnya UMNO dan BN menegur Anwar.
“Amat wajar parti dalam kerajaan perpaduan menegur PKR. PMX (Anwar) pula nampak garang dalam majlis awam tetapi membisu apabila kontroversi melanda partinya.
“Sampai masanya BN menilai kembali fungsinya dalam kerajaan madani. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Mohd Puad mengulas isu pendedahan ahli perniagaan, Victor Chin yang mendakwa telah menyerahkan wang sebanham RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR untuk menyelesaikan isu mafia korporat.
Bagaimanapun sehingga kini Victor masih merahsiakan siapa ahli Parlimen terbabit tetapi mengugut untuk mendedahkannya sekiranya wangnya tidak dikembalikan.
Sehubungan itu, Mohd Puad menggesa ahli Parlimen terbabit tampil membuat pengakuan dan tidak menambah luka imej Perdana Menteri.
PKR sebelum ini terpalit dengan isu “perang saudara” antara bekas Naib Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Anwar serta bekas Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador.
Turut tersebar rakaman video Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dari parti tersebut yang didakwa menuntut wang perlindungan dari sebuah rumah urut. — Edisi 9

