CALON dari Barisan Nasional (BN) akan dipertaruhkan oleh kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan kelaziman, parti yang menyandang kerusi DUN atau Parlimen terlibat akan ditandingi semula oleh parti berkenaan.
Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi BN berkata, perincian lanjut berhubung perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum dibawa ke Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
“Kita tahu DUN Mahkota di kawasan agak berpotensi untuk kita (BN) terus menang dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Lazimnya persefahaman yang menjadi formula kepada Kerajaan Perpaduan ialah kerusi yang diwakili mana-mana parti harus ditandingi semula oleh parti tersebut,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Kerusi DUN Mahkota kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang pada 2 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 28 September sebagai tarikh pembuangan undi dan 14 September sebagai hari penamaan calon sementara 24 September tarikh pengundian awal.
Sebelum ini, Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain menuntut kerusi DUN Mahkota ditandingi oleh partinya berdasarkan analisis mendalam situasi politik semasa.
Kerajaan Negeri Johor pula, katanya, bukanlah kerajaan Perpaduan seperti yang diamalkan oleh Pusat dan beberapa negeri lain.
Ekoran itu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa isu kerusi DUN Mahkota tidak dibincangkan secara terbuka oleh semua pihak dalam kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, kata beliau, perkara itu perlu diserahkan kepada pimpinan parti di peringkat nasional untuk diputuskan.
Allahyarham memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dengan majoriti 5,166 undi, menewaskan lawannya dalam perebutan empat penjuru.
Calon yang dikalahkan ialah Taqiuddin Cheman dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 11,445 undi; Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) 7,614 undi dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan) memperoleh 555 undi. – Edisi 9