SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor ditetapkan pada 28 September ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pada mesyuarat khas suruhanjaya itu hari ini, pihaknya juga menetapkan 14 September sebagai hari penamaan calon manakala 24 September bagi pengundian awal.
“Bajet untuk PRK ini dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut di Putrajaya hari ini.
Ramlan berkata, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK tersebut akan menggunakan Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.
Katanya, seramai 1,126 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya tersebut yang membabitkan 23 pusat mengundi dan 120 saluran.
Jelas beliau, ini termasuk tiga pusat mengundi awal yang mengandungi 11 saluran akan digunakan.
Kawasan DUN Mahkota mengandungi 66,318 orang pemilih termasuk 4,510 anggota tentera dan pasangan mereka, 401 anggota polis dan 10 orang pengundi luar negara.
Kerusi DUN Mahkota dalam Parlimen Kluang itu kosong berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Allahyarham memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dengan majoriti 5,166 undi, menewaskan lawannya dalam perebutan empat penjuru.
Calon yang dikalahkan ialah Taqiuddin Cheman dari Pakatan Harapan (PH) dengan 11,445 undi; Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) 7,614 undi dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan) memperoleh 555 undi. – Edisi 9