SEBANYAK 22,881 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada semua yang layak mengundi pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, perkara itu berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17.
Beliau berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 17 dan 18 November 2025 dijalankan oleh petugas undi pos di semua 73 Bahagian Pilihan Raya Negeri.
Menurut beliau, kesemua 22,881 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 21,362 kertas undi pos bagi kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media), 336 kertas undi pos bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), dan 1,183 kertas undi pos bagi kategori 1C (Agensi/Organisasi).
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2).
Beliau berkata, kertas undi tersebut perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan berkenaan sebelum pukul 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 29 November 2025 (Sabtu).
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya. — Edisi 9

