PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah akan diadakan serentak pada 24 Januari tahun depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun hari ini.
Menurut Ramlan, SPR turut menetapkan hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 10 Januari sementara hari mengundi awal pada 20 Januari.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 10 Januari 2026 sehingga 11.59 malam 23 Januari 2026,” katanya hari ini.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kekosongan luar jangka ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
SPR menerima notis kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 8 Disember lalu, manakala notis kekosongan DUN Lamag oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya pada 9 Disember.
Sementara itu, Ramlan berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos akan dibuka bermula 16 Disember manakala tarikh tutup pula ditetapkan pada 6 dan 8 Januari.
Katanya, bagai kategori A1 iaitu petugas pilihan raya, anggota/pegawai SPR, anggota polis, angkatan tentera dan media ditetapkan pada 8 Januari.
Manakala kategori 1B dan 1C iaitu warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta agensi/organisasi tarikh akhirnya pada 6 Januari.
“Bagi menjalankan proses PRK Kinabatangan dan DUN Lamag, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh lapan orang penolong pengawai pengurus,” katanya.
Ramlan berkata, seramai 1,106 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses kedua-dua PRK tersebut yang akan bertugas di 36 pusat mengundi biasa melibatkan 117 saluran dan satu pusat pengundi awal dengan satu saluran.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag memerlukan peruntukan sebanyak RM10 juta.
Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mengandungi 48,722 pengundi termasuk 196 anggota polis. – Edisi 9

