SEBELUM ini pengguna di Malaysia lebih mengenali Peugeot sebagai pengeluar pelbagai model kereta yang dipasarkan di negara ini sejak sekian lama, namun jenama sama untuk segmen motosikal begitu asing.
Walhal pengeluar kenderaan dari Perancis itu sebenarnya sudah mengeluarkan motosikal sejak tahun 1898 lagi bahkan pada masa kini motosikal Peugeot sudah menembusi lebih 3,000 lokasi jualan di seluruh dunia.
Antaranya model premium Peugeot Metropolis, XP400 dan Pulsion yang dihasilkan di kilang bertaraf dunia di Perancis, serta skuter moden seperti Django Classic dan Speedfight yang dihasilkan di China dan Vietnam.
Menyedari bahawa pasaran motosikal di negara itu cukup luas, Peugeot Motocycles bercadang untuk memasuki pasaran tempatan bermula tahun depan.
Bagi tujuan itu, Peugeot Motocycles bekerjasama dengan Aveta International, yang mempunyai rangkaian pengedar dan servis yang meluas, kepakaran teknikal, serta program perkhidmatan pelanggan seperti ‘Aveta Care on Wheels’.
Pengarah APAC Peugeot Motocycles, Judah Immanuel Sangaran berkata, Asia merupakan rantau yang signifikan dalam strategi pengembangan jangka panjang kami, dan Malaysia memainkan peranan utama dalam pelan tersebut.
“Kami mencari rakan kerjasama yang mempunyai nilai profesionalisme, tadbir urus yang cekap, pemahaman pasaran yang mendalam serta keupayaan pelaksanaan yang terbukti dalam industri.
“Aveta International memenuhi kesemua ciri-ciri tersebut menerusi tenaga kerja yang mahir dan keupayaan pemasaran yang holistik untuk Peugeot Motocycles,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis perjanjian kerjasama itu dimeterai kedua-dua pihak di Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama Pengarah Urusan Aveta International Sdn Bhd, Steve Lim; Pengerusi Kumpulan MAG Group, Max Ang dan Pengurus Besar Kewangan, Aveta International, Wilson Ng.
Judah berkata, beliau yakin pengguna di Malaysia bakal menikmati pengalaman pemilikan yang premium dan autentik merangkumi jualan, servis serta khidmat pelanggan yang mematuhi piawaian global jenama itu.
Sementara itu, Lim berkata, Peugeot Motocycles portfolio pihaknya yang semakin berkembang serta mampu menyerlahkan komitmen Aveta dalam menawarkan pengalaman pemilikan bertaraf dunia.
“Fokus kami jelas bagi memastikan setiap penunggang dapat menikmati reka bentuk dan kejuruteraan premium dari Perancis, disokong oleh penubuhan stor flagship Peugeot Motocycles di lokasi terpilih.
“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Aveta dalam pasaran, malah berpotensi tinggi meningkatkan nilai mobiliti urban dalam kalangan penunggang di Malaysia,” katanya.
Peugeot Motocycles dan Aveta International kini giat membuat persiapan untuk pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada suku pertama tahun 2026. – Edisi 9

