25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 8, 2024

Inisiati WtE: PN Selangor dialukan jadi pembangkang berkesan

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang

Kenyataan sokongan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih dari Perikatan Nasional (PN), Nushi Mahfodz terhadap usaha membangunkan inisiatif Waste-to-Energy (WtE) oleh kerajaan negeri Selangor adalah disambut baik.

Kenyataan tersebut dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan ABAS Bil 10/2024, yang mana pendirian ADUN Semenyih tersebut mewakili pembangkang di Selangor menyaksikan semua pihak boleh memainkan peranan masing-masing secara berkesan demi membangun negeri tercinta ini.

Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat itu juga berjanji akan terus memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan kebolehlaksanaan teknologi WtE di Selangor.

Semestinya sikap matang sebagai pembangkang yang berkesan sebegini perlu disambut baik kerana ia akan memaksa pentadbiran kerajaan negeri memastikan hasil yang terbaik dapat dicapai melalui inisiatif WtE.

WtE adalah sebuah inisiatif pengubah permainan yang pertama seumpamanya dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan negeri di Malaysia.

Tiada kerajaan negeri lain yang telah meneroka kaedah ini di mana ia telah dibangunkan melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi memenuhi sasaran sifar karbon seawal tahun 2050.

WtE mengubah bahan buangan menjadi sumber tenaga baharu. – Gambar hiasan

Inisiatif WtE boleh difahami sebagai teknologi yang mengubah bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula menjadi tenaga seperti haba, elektrik atau bahan bakar.

Teknologi ini terbukti selamat kepada manusia dan alam sekitar berdasarkan kajian kes di China yang mempunyai 700 loji WtE dan Singapura yang mempunyai lima loji WtE.

Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada negeri Selangor kerana ia mampu membakar 2,400 tan sampah sehari dan menjana 130.5 megawatt tenaga elektrik.

Tenaga elektrik yang dihasilkan itu bukan sahaja dapat disubsidikan kepada penduduk negeri Selangor yang layak malah ia juga boleh diperdagangkan bagi menambah hasil pendapatan negeri.

Malahan perbelanjaan kerajaan Negeri Selangor juga dapat dikurangkan melalui pengurangan upah pelupusan sampah.

Ini berikutan jumlah sampah domestik di Selangor meningkat setiap tahun di mana pada tahun 2018 merekodkan 2,700 tan kepada 5,500 tan pada 2023.

Advertisements

Jika pola ini berterusan, Selangor akan kehilangan banyak kawasan berpotensi tinggi yang terpaksa dikorbankan untuk dijadikan kawasan pelupusan sampah.

Pelan pembangunan inisiatif WtE telah melalui proses perbincangan hampir 15 tahun sebelum ia dilaksanakan di Selangor.

Usaha kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan inisiatif WtE disambut baik oleh Kerajaan Persekutuan apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan sebanyak 175 tempat pelupusan sampah telah ditutup dalam usaha meningkatkan inisiatif WtE.

Kerajaan Selangor di bawah pelan RS-1 sedang membangunkan dua lagi inisiatif pengubah permainan iaitu fasiliti pemulihan bahan (MRF) dan pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu (ISWMC).

Kesemua perancangan yang sedang diusahakan oleh kerajaan Selangor adalah cara baharu yang lebih mapan dalam membangunkan pentadbiran kerajaan di samping menambah pendapatan dan menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang.

Sememangnya usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor di bawah teraju Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari perlu didukung oleh semua pihak.

Usaha tersebut selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam bukunya ‘SCRIPT’ yang menyatakan bahawa bagi memastikan kerajaan berjaya melalui zaman pascapandemik, pentadbiran semasa tidak boleh mengamalkan dasar ‘Business as Usual.’

Pendekatan baharu yang lebih mampan seperti WtE mampu mengubah struktur pentadbiran semasa di peringkat negeri.

Pembangkang dalam situasi ini perlu memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan tiada ketirisan perbelanjaan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selagi perlaksanaan inisiatif WtE mengikut tatakelola yang baik maka seharusnya sokongan padu diberikan.

Tindakan membangkang semua usaha kerajaan termasuk inisiatif yang bermanfaat bukanlah amalan pembangkang yang berkesan dalam sistem demokrasi.

Sebaliknya sifat pembangkang yang mempersoalkan semua perkara termasuk inisiatif yang bermanfaat adalah tidak lebih dari usaha untuk mengagalkan pembangunan negeri.


DR MOHD FAUZI FADZIL
Pengarah Komunikasi
Angkatan Muda Keadilan Selangor

Advertisements

Terkini

PRK Mahkota: BN sekali lagi pertaruh calon Pemuda 

BARISAN Nasional (BN) sekali lagi menpertaruhkan wakil Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan