UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperluaskan jaringan pendidikan antarabangsanya, kali ini ke Vietnam dengan menghantar satu delegasi ke Ho Chi Minh City University of Technology and Education (HCMUTE) baru-baru ini.
Delegasi UPSI terdiri daripada Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dengan diketuai Pengetuanya, Dr Che Anuar Che Abdullah dan mendapat kerjasama Education Malaysia Vietnam and Office of International Affairs.
Menurut Che Anuar, lawatan dalam rangka jalinan perhubungan dua negara melalui pendidikan dan kebudayaan.
“Lawatan ilmu ini bukan sahaja memperkaya pengalaman akademik dan budaya tetapi juga memperkukuh hubungan antara dua institusi pendidikan dan berharap ini menjadi langkah awal bagi lebih banyak kolaborasi yang berdampak besar pada masa mendatang,” katanya.
Beliau berkata, lawatan itu memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa UPSI.
Ini termasuk inovasi dalam teknologi pendidikan, kaedah pengajaran terkini, fasiliti serta infrastruktur dan sumber pembelajaran yang responsif dalam menyokong pendidikan yang lebih berkualiti.
Katanya, sepanjang berada di Ho Chi Minh City, UPSI telah memperkasa pendidikan cemerlang melalui program khidmat kesukarelawanan dengan membangunkan perpustakaan mini di Madrasah Al-Nur.
“Perpustakaan mini KHAR ini dilengkapi dengan pelbagai buku, bahan bacaan dan peralatan tulis yang sesuai untuk anak-anak berusia 7 hingga 12 tahun.
“Inisiatif ini bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan komuniti sekaligus membawa perpaduan dan toleransi di antara negara
ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Felo Penasihat Program Global Outreach UPSI to Vietnam, Norrulkamari Daud berkata, program tersebut bagi membangun nilai kepimpinan bersahsiah dalam kalangan mahasiswa.
“Saya yakin perjalanan ini membawa nama UPSI ke kancah antarabangsa dan apa yang terpenting adalah untuk sama-sama kita bangunkan nama UPSI dan Malaysia dengan meninggalkan perkara yang positif serta memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan dan sosial,” ujarnya.
UPSI akan terus komited dalam memperluas jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan pastinya akan membawa sesuatu yang bermanfaat buat pendidikan negara. – Edisi 9