KERAJAAN didesak memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan mahkamah yang membenarkan komik bertajuk Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama, karya bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau diedarkan kepada awam.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh berkata, siapa pun kerajaan, mereka perlu menjaga sensitiviti majoriti rakyat yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Beliau berkata, walaupun mahkamah sudah membuat keputusan dan perlu dihormati, namun tidak bermakna mereka bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Bagi mengelakkan ketidakadilan kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan ini selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Siapa sekalipun kerajaan, sensitiviti majoriti rakyat Melayu Islam perlu diutamakan dan dipelihara untuk menjamin kestabilan negara ini,” katanya semalam.
Mahkamah Rayuan pada 26 Julai 2022 memutuskan komik tersebut tidak menjejaskan ketenteraman awam itu ketika diperintah oleh kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (BN-PN).
Manakala permohonan kerajaan pada 8 Disember 2022 untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan larangan terhadap penerbitan komit itu juga gagal.
Ekoran itu, semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan perintah larangan yang dikenakan ke atas komik kontroversi tersebut.
Menurut warta kerajaan persekutuan bertarikh 12 Ogos, pembatalan itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Komik itu pada mulanya diharamkan oleh KDN pada Oktober 2019 kerana kandungannya dikhuatiri boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Komik itu didakwa mengangkat imej China dan Inisiatif Jalur dan Jalannya, sementara menggambarkan dunia Barat menerusi lensa negatif. – Edisi 9