TINDAKAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagai biadab.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai mantan Perdana Menteri, Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Presiden Bersatu itu yang secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja-raja) dalam kempen politiknya.
Wan Rosdy berkata, tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu boleh menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak.
“Saya sungguh kecewa dan terkilan dengan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Nenggiri yang secara biadab menyentuh kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16,” katanya hari ini.
Wan Rosdy berkata, beliau yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan Al-Sultan Abdullah berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana Pas dan Bersatu telah menolak titah Tuanku ini.
“Saya berharap rakyat di negara ini perlu terus menghormati institusi diraja yang merupakan lambang kedaulatan dan kestabilan negara serta simbol penyatuan dan pelindung rakyat jelata,” katanya.
Sebelum ini tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas PRU-15.
Beliau berkata, sokongan yang diperoleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
“Saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembahaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi perdana menteri. Ini bukan untuk mengungkit tetapi ia sebagai rekod atau sejarah.
“Tapi entah macam-mana Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah. Siapa Agong dulu. Pahanglah ya,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9