PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai seorang pemimpin yang gagal menguruskan krisis dalaman parti sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, lebih malang, Muhyiddin dilihat menggunakan seluruh saki-baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, ini termasuk menghalang laluan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan.
“Oleh yang demikian, untuk memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar Bersatu, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN), sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.
“Saya percaya hasrat murni kenyataan ini boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Muhyiddin, apatah lagi pendirian ini selari dengan intipati kenyataan beliau sendiri di Singapura pada tahun 2008 terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ronald yang juga Pengerusi Bersatu Sabah berkata, tindakan Lembaga Disiplin (LD) parti menghadapkan Hamzah atas tuduhan lama dan baharu adalah satu langkah yang jelas bersifat regresif serta bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Lebih membimbangkan, kata beliau, tindakan LD menghadapkan Ketua-Ketua Bahagian termasuk wakil rakyat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong Hamzah memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak.
Tegas beliau, itu semua bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu.
“Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.
“Seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu, tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan PN,” katanya.
Muhyiddin kini bagaikan semakin terhimpit apabila sebelum ini turut mendapat desakan secara terbuka daripada pelbagai peringkat agar melepaskan jawatannya.
Beliau pernah mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya semasa pemilihan parti pada 2023 lalu, namun menarik balik keputusan tersebut di saat akhir. — Edisi 9

