PARTI Amanah Nasional (Amanah) rela memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, parti itu mahu pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) di seluruh negara, termasuk Johor dibincang dan diputuskan semula.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Nasional Amanah yang diadakan malam tadi.
“Ini adalah kerana PRU 16 ini adalah PRU pertama kita tandingi sebagai Gabungan Perpaduan dan oleh itu agihan kerusi perlu dikaji kembali demi menjamin kemenangan yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid berkata, selaras dengan keputusan tersebut Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Mahkota.
Beliau berkata, Amanah akan menggerakkan seluruh kekuatan jentera bagi membantu calon BN mewakili gabungan Perpaduan mempertahankan kerusi DUN Mahkota dalam PRK tersebut.
Kerusi DUN Mahkota dalam Parlimen Kluang itu kosong berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Allahyarham memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dengan majoriti 5,166 undi, menewaskan lawannya dalam perebutan empat penjuru.
Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September ini sebagai hari pengundian, 14 September hari penamaan calon dan 24 September hari mengundi awal. – Edisi 9