KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuktikan kerjasama Kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini dapat dilihat apabila undi yang diperoleh calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah hampir sama dengan jumlah gabungan undi BN dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022 lalu.
“Ia menandakan bahawa kejayaan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan hari ini sudah boleh diterima oleh penyokong kedua-dua gabungan parti utama negara kita.
“Nyata juga prinsip kita untuk mengamalkan politik Islam yang sebenar sepertimana di Nenggiri telah diterjemahkan dengan baik di Mahkota.
“Di saat kita difitnah dan dilaga-lagakan oleh lawan, gabungan parti kerajaan perpaduan kekal dengan pendekatan matang menyantuni rakyat.
“Di saat kita ditohmah dan ‘didajalkan’, kita kekal dengan jalan murni membela dan mempertahankan rakyat,” katanya malam tadi.
Dalam PRK DUN Mahkota semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 20,648 undi mengatasi Perikatan Nasional (PN).
Calon BN, Syed Hussien mendapat 27,995 undi mengatasi calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang memperoleh 7,347 undi dengan peratusan keluar mengundi 58.38 peratus.
Untuk rekod, PRN Johor 2022 menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PH, PN dan Warisan dengan kemenangan berpihak kepada calon BN, Sharifah Azizah Syed Zain.
Dalam PRN itu BH mendapat 16,611 undi, PH 11,445 dan Warisan sebanyak 555 undi, sementara PN memperoleh 7,614 undi. – Edisi 9