SLOGAN “No DAP” yang dimainkan pembangkang bagi menghasut pengundi menolak parti Kerajaan Perpaduan sudah tidak laku, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, sebaliknya slogan tersebut sekadar alasan syok sendiri bagi kumpulan yang mahu melompat parti atau mereka yang tidak lagi mempunyai masa depan dalam UMNO.
Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam menjelaskan bahawa persefahaman antara UMNO-DAP adalah kunci utama kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
“(PRK) Mahkota adalah formula terbaik. Perbezaan pendapat seperti dalam isu halal tidak menjejaskan kemenangan. Tidak ada boikot. DAP jelas komited berkempen.
“Lebih baik persefahaman BN-DAP berlangsung bukan kerana hipokrasi. Tidak salah berbeza pandangan tapi wisdom (bijaksana) menyelesaikannya,” katanya hari ini.
Beliau mengulas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) ke atas Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 20,648 undi semalam.
Dalam PRK yang berlangsung semalam BN yang mewakili kerajaan Perpaduan menerusi calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh 27,995 undi mengatasi calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.
Puad berkata, sikap terbuka pemimpin generasi baharu DAP dan kematangan pemimpin UMNO telah membuka lanskap baharu politik negara.
“Mahkota membimbing kerjasama BN-PH yang lebih serius. Biarkan PN terjun dengan labu-labunya. Tunggu sahaja musibah kekalahan teruk PN khususnya kepada Bersatu.
“Apakah akan wujud pemberontakan dalaman seperti bila Bersatu kalah teruk di Tanjung Piai? Kita tunggu jika (Datuk Seri Mohd) Azmin (Ali) akan melakukan langkah Sheraton 2.0. Kali ini DAP bukan lagi alasan. Mesti ada “kambing hitam” baharu,” katanya.
Slogan “No DAP” merupakan ungkapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilaungkan semasa Perhimpunan Agung UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Ketika itu UMNO menolak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan Bersatu dengan melaungkan slogan “No Anwar, No DAP dan No Bersatu”. – Edisi 9