26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

BN pertahan kerusi Mahkota dengan majoriti 20,648 undi

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu hari ini dengan majoriti 20,648 undi.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berjaya mendapat 27,995 undi mengatasi lawannya dari Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang memperoleh 7,347 undi.

Pegawai Pengurus PRK DUN Mahkota, Azurawati Wahid ketika mengumumkan keputusan rasmi berkata, sebanyak 339 undi ditolak manakala peratus keluar mengundi ialah 53.84 peratus.

Kemenangan BN itu sekali gus membolehkan parti itu mempertahankan kerusi tersebut yang disandang oleh Allahyarham Syarifah Azizan Syed Zain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 lalu.

Dalam PRN tersebut, Syarifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Sebelum itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki lebih awal berkongsi tentang kemenangan BN menerusi Facebooknya.

“Secara tidak rasmi, setelah seluruh saluran 121 dikira. BN mendapat undi 27,941 dan PN 7,332! Dengan ini, BN telah memenangi PRK N.29 DUN Mahkota dengan majoriti 20,609!,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh turut memberi bayangan kemenangan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Alhamdulilah… Seorang lagi yang berkhidmat telah kita lahirkan. Terima kasih semua,” katanya ringkas.

Proses pengundian PRK DUN Mahkota berlangsung hari ini membabitkan 20 pusat mengundi yang dibuka sejak pukul 8 pagi ditutup secara rasmi pada 6 petang.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 61,274 pengundi layak untuk mengundi hari ini manakala undi awal telah berlangsung pada Selasa lepas, selain kertas undi pos telah dikeluarkan pada 15 September lalu.

Secara keseluruhannya DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi dengan majoritinya ialah pengundi Melayu iaitu 56 peratus, pengundi Cina (34 peratus), pengundi India (lapan peratus) dan bakinya lain-lain.

PRK itu diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan