30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

PRK Pelangai: Wan Rosdy ketuai jentera BN – Ahmad Zahid

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bakal mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas mengiringi calon parti itu, Datuk Amizar Abu Adan ke pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera pilihan raya BN perlu bekerja keras untuk menarik sokongan pengundi biarpun mereka menang dengan majoriti besar di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Walaupun di atas kertas, kita ada majoriti lebih 4,000 undi melalui Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan 2,000 lebih daripada calon Pakatan Harapan pada PRU-15 lalu, namun kita tidak boleh ambil mudah dan terlebih yakin.

“Lawan dah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan ceramah tidak besar, jadi kita kena guna langkah luar biasa, sesuai dengan kehendak dan cita rasa pengundi dan kita perlu mendekati semua pengundi secara bersemuka,” katanya.

Advertisements

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Untuk rekod, Johari yang mewakili BN pada PRU-15 menang dengan majoriti 4,048 undi selepas memperoleh 7,308 undi.

Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat (3,260), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (2,031) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin akan kemampuan Amizar untuk meneruskan kesinambungan Johari di DUN Pelangai.

“Calon kita terkenal dalam kalangan orang Pelangai, beliau pun anak Felda (Felda Chemomoi) dan saya yakin beliau akan meneruskan khidmat Johari di sini,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan