31 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 1, 2022

Calon BN: Antara KJ, Ustaz Kazim dan Ku Li

Mesti Baca

SUASANA Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur gegak-gempita dengan sorakan dan tepukan apabila nama Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai calon bagi Parlimen Sungai Buloh.

Laungan ‘KJ! KJ! KJ!’ bergema sambil Menteri Kesihatan itu bangun dan melambaikan tangan kepada orang ramai yang memenuhi dewan, rata-rata terdiri daripada calon-calon, petugas media dan sebahagian penyokong yang dapat menyelinap masuk.

Ternyata, bekas Ketua Pemuda UMNO itu masih mempunyai aura terutama dalam kalangan anak-anak muda BN sendiri. Bahkan sebahagian calon-calon yang dipilih pucuk pimpinan, juga dalam kalangan Pemuda atau bekas Pemuda UMNO.

Khairy sendiri yang sebelum ini bimbang namanya tercicir selepas terpaksa melepaskan kerusi Rembau yang disandang untuk memberi laluan kepada ‘bosnya’ Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding, kelihatan tersenyum dan menarik nafas lega.

Khairy bukan satu-satunya calon BN dari ‘luar kawasan’ yang dipilih untuk bertanding di tempat ‘asing’, sebaliknya terdapat beberapa lagi nama yang bertanding jauh daripada kawasan masing-masing.

Khairy Jamaluddin menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan.

Antaranya Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yang bertanding nun di Padang Besar, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Gerik), Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan (Alor Gajah) serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun atau Azwan Bro di Pasir Salak.

Langkah yang diambil pucuk pimpinan BN kali ini memecah tradisi pemilihan calon parti yang sebelum ini yang lebih mengutamakan anak-anak tempatan, atau setidak-tidaknya dari negeri yang sama.

Baca juga:   Tengku Zafrul boleh jadi ‘poster boy’ BN Selangor - Jamal
Baca juga:   PM ucap tahniah atas kemenangan BN di Johor

Turut mendapat perhatian ialah pencalonan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang akan bertanding di Gombak.

Ini kerana kerusi Parlimen Gombak antara yang paling menarik untuk diikuti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini memandangkan ia menjadi gelanggang pertembungan calon-calon ‘gergasi’.

Gombak merupakan gelanggang pertempuran antara Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Indusrti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kedua-dua mereka adalah bekas rakan dalam pucuk pimpinan PKR sebelum ini.

Pencalonan Megat Zulkarnain yang dikenali sebagai seorang ‘pendekar’ di Gombak akan menambahkan lagi kehangatan pertandingan di kerusi tersebut.

Seorang lagi calon yang menjadi perhatian yang juga kejutan ialah Datuk Mohammad Kazim Elias yang akan bertanding di Larut.

Di bahu pendakwah bebas itu terbeban satu tugas besar iaitu untuk merampas kembali kerusi Larut daripada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hamzah memenangi kerusi tersebut atas tiket BN dalam PRU-14 lalu sebelum ‘melompat’ meninggalkan parti dan menyertai Bersatu.

Walaupun BN menampilkan ramai muka baharu, segar dan muda namun veteran-veteran UMNO masih tidak dilupakan.

Pencalonan Ustaz Kazim Elias mengejutkan.

Pencalonan Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang menjadikan beliau sebagai calon paling lama bertanding di kawasan tersebut, iaitu sejak tahun 1974.

Selain Ku Li dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tiada lagi nama-nama besar lain seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Nazri Aziz.

Baca juga:   PRU15: Calon BN perlu jalani tapisan jabatan agama

Hasrat untuk melihat salah seorang anak Datuk Seri Najib Razak bertanding sebagai legasi juga tidak kesampaian, sebaliknya anak Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Mohamad Ali Rustam pula yang ‘sangkut’.

Baca juga:   Kurikulum pendidikan berubah, mentaliti masih ditakuk lama

Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dipertaruhkan di Hang Tuah Jaya, kerusi yang pernah ditanding oleh bapanya yang juga bekas Ketua Menteri Melaka itu.

Kesimpulannya, calon-calon BN terdiri daripada pelbagai peringkat usia, latar belakang dan latar akademik, gandingan lama dan baharu untuk memastikan mereka memperoleh kemenangan mutlak dalam PRU-15 kali ini.

Biarpun begitu, nama-nama tersebut belum sebenar-benarnya muktamad sehinggalah borang penamaan calon diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan diumumkan.

Selagi belum disahkan oleh SPR selagi itu belum muktamad dan apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari ini. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Tak serik didakwa kali ketiga curi pakaian, seluar dalam lelaki

SEORANG wanita yang juga ibu tiga anak tidak serik-serik apabila dia sekali lagi dituduh atas kesalahan serupa iaitu mencuri...

Lagi Artikel Berkaitan