26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Zahid ingatkan usah ‘cah keting’, burukkan parti sendiri

Mereka yang tidak dicalonkan perlu mengambil sikap betul dan berjiwa besar sepertimana mereka pernah diberi peluang belasan dan puluhan tahun dahulu.

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agar mengambil sikap betul dan berjiwa besar sepertimana mereka pernah diberi peluang belasan dan puluhan tahun dahulu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, jangan ada yang mencetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, ‘cah keting’, sabotaj atau cuba menutup bilik gerakan dan memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti mereka sendiri.

Beliau berkata, mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat perlu memberikan peluang kepada anak-anak muda untuk mengambil tempat dan kedudukan.

“Suara anak muda sangat penting dan kita perlu mendengar dan memberikan peluang calon-calon baharu untuk bertanding.

“Ketika yang sudah lama bertanding dahulu mereka juga disokong oleh anak-anak muda dan dewasa yang lain. Tanpa sokongan ini mereka tidak akan dapat menjadi wakil rakyat untuk berpenggal-penggal lamanya.

“Kini apabila tibanya masa mereka pula apabila tidak terpilih, mengambil sikap betul, berjiwa besar menerima sebagaimana mereka pernah diberikan peluang belasan dan puluhan dahulu,” katanya hari ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tidak mudah membuat keputusan getir namun keputusan tegas, berani dan bijaksana perlu dilakukan dalam usaha memulihkan dan menjadi pencetus kepada kebangkitan UMNO dan BN.

Katanya, jika UMNO dan BN tidak membuat perubahan sekarang, ia boleh menyebabkan parti itu ketinggalan ke belakang ketika parti-parti pesaing melakukan perubahan terutama kalangan calon yang bertanding pada pilihan raya umum.

“Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan.

“Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket parti UMNO dan BN,” katanya.

Zahid berkata, apabila meletakkan muka-muka baharu bermakna ia adalah sebahagian daripada peremajaan parti dan memastikan penglibatan anak muda diberikan tempat dan kedudukan sewajarnya untuk memastikan suara dan tidak meminggirkan undi muda bawah 40 tahun.

Katanya, mereka perlu menerima hakikat bahawa undi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal mengundi pada PRU-15 ini.

“Kita perlu berubah. Dalam politik No one person is indispensable, but all people are important.

“Yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan.

“Apabila tidak tersenarai bukan maknanya tidak penting akan tetapi tidak selamanya kita menongkat langit maka laluan kepada calon baharu perlu dilakukan kata peribahasa patah tumbuh hilang berganti,” katanya.

Untuk rekod, beberapa nama besar antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dicalonkan oleh BN dalam PRU-15 selepas pengumuman calon malam tadi. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan