25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PRU15: 363,515 petugas dilantik lancarkan proses mengundi

PRU15 dan PRK DUN Bugaya SPR menganggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 Penolong Pegawai Pengurus bagi melancarkan proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini.

Tarikh sama juga ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) turut ditubuhkan bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya.

Katanya, pasukan tersebut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

“Bagi PRU15 dan PRK DUN N66, Sabah sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

“Seramai 363,515 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN N.66, Sabah.

“Manakala, sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi/saluran bagi PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

Ujarnya, bagi PRU15 dan PRK DUN Bugaya SPR menganggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion.

Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my.

“Pengundi juga boleh hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan