26.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Kapal kargo ditahan bersauh tanpa kebenaran

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal kargo bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang kira-kira pukul 5.50 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu hasil maklumat Pusat Kawalan Kawasan (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal mencurigakan sekitar pukul 2.30 petang.

“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kargo itu tidak mempunyai kebenaran bersauh dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan telah diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal tunda yang tertera nama “MV Hai Phuong Star” .

“Ketika ditahan, kapal itu berada di kedudukan lebih kurang 27 batu nautika barat daya Tanjung Karang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal kargo itu dikendalikan oleh 21 kru warga Vietnam dan kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Advertisements

“Namun, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

“Justeru, kapal kargo berkenaan didapati melanggar peraturan di bawah seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Katanya, perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mematuhi peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan