25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

40% golongan sasaran tidak hadir janji temu dos penggalak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 40 peratus golongan sasaran yang diberikan janji temu untuk mendapatkan suntikan ketiga dos penggalak vaksin COVID-19 tidak hadir untuk menerima suntikan masing-masing.

Perkara itu didedahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam program Bual Bicara Kesihatan menerusi slot Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1, sempena pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di saluran sama, hari ini.

Beliau berkata, situasi berkenaan jelas menimbulkan kerisauan kerana jumlah kehadiran penerima untuk dos pertama dan kedua vaksin adalah tinggi iaitu lebih 95 peratus.

“Pada masa itu, semua takut mengenai COVID-19, tetapi sekarang apabila kadar jangkitan dan kematian sudah menurun, kita lihat sudah mula ada norma baharu untuk mereka hidup dengan virus ini.

“Mereka rasa leka dan apabila dijemput untuk mendapatkan dos penggalak, mereka tidak hadir dan rasa tidak perlukan dos penggalak itu,” katanya lapor BH Online.

Sehubungan dengan itu, beliau merayu pihak yang diberikan tarikh untuk menerima suntikan dos penggalak supaya memenuhi janji temu berkenaan.

“Dos penggalak itu akan melindungi kita untuk jangka lebih panjang daripada kesan buruk akibat COVID-19,” katanya.

Khairy berkata, umum perlu mengetahui negara lain yang sudah memulakan program vaksinasi lebih awal dari Malaysia, mengalami gelombang jangkitan COVID-19 yang baharu.

“Walaupun vaksin itu berkesan, tetapi keberkesanannya menurun selepas enam bulan, sebab itu kita memperkenalkan dos penggalak supaya sistem imun kita dirangsang semula.

“Selepas menerima dua dos, sistem imum kita memang sudah bagus untuk melawan Sars-CoV-2 dan COVID-19, tetapi selepas enam bulan, ketahanannya menurun sedikit, justeru ia memerlukan sedikit rangsangan melalui dos ketiga,” katanya.

Khairy berkata, dos ketiga itu digalakkan diambil pada mereka yang berisiko tinggi termasuk petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan orang ramai dan terdedah kepada COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, warga emas dan mereka yang mengalami pelbagai masalah penyakit kronik termasuk obesiti, kencing manis serta sakit jantung juga digalakkan mengambil dos ketiga dan akan diberikan tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera masing-masing.

Katanya, kadar kebolehjangkitan terkini sudah mencecah 0.99 berbanding 0.90 dua minggu lalu.

“Ramai sudah mula leka, sekiranya kadar itu lebih daripada paras 1, kes (jangkitan COVID-19) akan meningkat disebabkan mobiliti pergerakan rakyat kita pun meningkat, susulan kerajaan membenarkan rentas negeri, pembukaan sektor ekonomi sosial dan sebagainya.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjangka perkara ini dan kita bersiap sedia. Kita harap jika berlaku kenaikan kes, ia hanya membabitkan kes bergejala ringan atau tanpa gejala kerana program vaksinasi kita antara yang terbaik di dunia,” katanya.-Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan