32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Dah 2021, siaran bola sepak kita di TV bila nak berubah?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

LIGA Malaysia bagi musim 2021 akhirnya kembali setelah beberapa kali tertangguh ekoran pandemik Covid-19.

Perlawanan pertama merebut Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC kelmarin membuka tirai liga musim ini ketika pandemik masih lagi merebak.

Biarpun bermain dalam stadium kosong tanpa kehadiran penonton, namun ia sudah cukup bagi para peminat bola sepak di negara ini melepaskan kerinduan mereka.

Tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan pasukan pujaan mereka, para peminat dan penyokong sudah tentu akan menanti perlawanan siaran langsung yang disiarkan di televisyen (TV).

Terima kasih Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Hypp TV yang menjadi penyiar rasmi Liga Malaysia dan menyediakan sehingga empat saluran khas untuk siaran langsung bola sepak terunggul di negara ini.

Namun, dalam keghairahan penonton mahu menyaksikan aksi perlawanan pasukan pilihan mereka di TV, timbul rasa ‘kebosanan’ yang amat tebal ketika menyaksikannya.

Bosan bukan disebabkan corak permainan pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia, tetapi cara persembahan siaran langsung di TV yang masih di takuk lama.

Entah kenapa menonton bola sepak tempatan di TV kita merasakan seolah-olah berada dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an yang mana kualiti gambar begitu mendukacitakan.

Kami faham dengan masalah transmisi dan sebagainya, tetapi tidak bolehkah pihak-pihak berkenaan terutama RTM yang membekalkan siaran langsung ini meningkatkan teknologi mereka?

Bayangkan warna yang diterima di kaca TV dengan warna yang amat menyerlah. Hijau padang bola sepak yang kelihatan begitu menyala seolah-olah bukan padang rumput, tetapi di atas cat hijau.

Penulis tidak pasti di mana kelemahannya, tetapi berbeza apabila menyaksikan siaran langsung bola sepak luar negara seperti Liga Perdana Inggeris dan lain-lain, kualiti gambar yang diterima amat baik sekali.

Nak katakan penalaan resolusi televisyen penulis tidaklah dipastikan sebab ketika menonton bola sepak dari luar negara, semuanya kelihatan tidak sedemikian.

Kita tidak mengharapkan siaran langsung dalam resolusi tinggi (HD) tetapi sekurang-kurangnya bukanlah seperti menonton bola sepak ketika zaman penulis masih remaja. Dah tahun 2021 kut?

Satu lagi isu ialah sudut kamera yang diambil turut memainkan peranan untuk membangkitkan ‘mood‘ penonton. Dengan sudut kamera yang agak rendah menampakkan siaran bola sepak kita masih seperti dahulu.

Mungkin juga jurukamera tidak mendapat posisi terbaik untuk merakamkan gambar lebih baik, atau sememangnya sudah menjadi SOP penyiaran merakamkan pada sudut sedemikian.

Sekali lagi, penulis bukan nak bandingkan dengan siaran langsung dari liga luar negara, tetapi tidak salah kita mencontohi persembahan TV mereka demi kepuasan penonton.

Advertisements
Cara Bront Palarae mengulas perlawanan bola sepak dalam filem Ola Bola mungkin boleh dijadikan contoh. – Sumber: Media Hiburan

Dan ketiganya yang paling penting ialah pengulas. Penulis perhatikan corak ulasan pengulas-pengulas kita masih lagi berpaksikan cara lama ketika zaman Allahyarham Datuk Hasbullah Awang.

‘Menceceh’ tidak henti-henti tentang kedudukan bola pada setiap sudut yang semua penonton boleh saksikan sendiri di kaca TV amat membosankan.

Kita bersiaran di televisyen dan bukannya di radio sehingga pengulas perlui melaporkan setiap sudut kedudukan bola, apa yang berlaku di padang yang semuanya sudah terpampang di depan mata.

Cukup sekadar pengulas melaporkan siapa yang menerima bola kerana penonton tidak mengetahui semua nama pemain pasukan pilihan mereka apatah lagi pasukan lawan.

Penulis suka dengan cara Datuk Zainal Abidin Rawop mengulas bola sepak, bersahaja walaupun sesekali agak ‘over‘ terutama apabila melibatkan pasukan Selangor.

Pengulas juga boleh memasukkan ulasan-ulasan segera tentang perlawanan tersebut, tentang para pemain, pengadil atau jurulatih.

Mungkin lebih menarik jika setiap perlawanan diulas oleh lebih daripada seorang agar suasana lebih hidup.

Maklum jika ulasan dibuat secara bersendirian pengulas akan ‘habis modal’ untuk mengulas. Itulah sebab agaknya pengulas asyik menyebut minit atau baki perlawanan yang tinggal.

Tidak, kita sudah tahun 2021 dan persembahan bagi siaran langsung di TV juga perlu berubah bagi menarik minat penonton dan agar mereka tidak bosan melayan bola sepak tempatan.

Penulis masih ingat cerita seorang kawan sepejabat yang berpeluang menyaksikan bola sepak Liga Itali di stadium di sana. Katanya, menyaksikan secara langsung di stadium berbeza sama sekali saat menonton di TV.

Katanya, menyaksikan bola sepak di stadium jauh lebih membosankan kerana cara mereka ‘mempersembahkan’ perlawanan yang sama di TV amat berbeza.

Dengan kualiti gambar dan suara, sudut kamera yang pelbagai dan cara ulasan yang menarik berjaya mencorakkan ‘perlawanan’ bola sepak yang membosankan kepada satu persembahan yang menarik di TV.

Penulis bukanlah pakar dalam bidang penyiaran tetapi sebagai seorang peminat bola sepak, mungkin sudah tiba masanya stesen TV di Malaysia, tidak kisahlah sama ada milik kerajaan atau swasta, meningkatkan kualiti persembahan siaran langsung bola sepak tempatan.

Kita sudah di tahun 2021, dan sudah memasuki abad baharu. Takkan peminat bola sepak kita masih lagi disajikan dengan persembahan siaran bola sepak di TV seperti zaman alaf lama?

Lastik! – Dah lama tak main bola

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan