24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

My Kampung My Future, Pak Ya dan Afizah

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

BEBERAPA minggu lalu, penulis membawa rombongan pensyarah dan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) melawat program-program kelolaan penulis di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak dan Perak Tengah.

Antara yang dilawati ialah kesinambungan program Kerjasama Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), My Kampung My Future (MKMF), Mukim Pulau Tiga, serta Program Komuniti Ekonomi Perak Tengah.

Tujuan lawatan adalah untuk meninjau potensi menjalin kerjasama antara IGROW (milik penulis) dan UPM terutama melibatkan industri pertanian dan makanan.

Sepanjang dua hari mereka bersama penulis, banyak kegiatan pertanian dan industri asas tani yang dilawati dan dikaji oleh mereka.

Antaranya ialah latihan pertanian IGROW, penternakan padang ragut, ikan sangkar Sungai Perak, usahawan pemprosesan makanan dan tanaman makanan seperti limau nipis dan limau kasturi.

Ternyata mereka teruja untuk meneruskan kerjasama kerana menyedari penulis sudah berjaya mengasaskan pertanian secara komuniti seperti MKMF dan mengembangkannya sebagai model baru hingga ke peringkat daerah Perak Tengah.

Penulis bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, pada majlis pelancaran
MKMF Mukim Pulau Tiga pada 25 April 2013.

Justeru dipersetujui cadangan agar UPM memainkan peranan dalam kerjasama latihan kemahiran pertanian, menghasilkan inovasi produk tempatan (nilai tambah) dan pembangunan keusahawanan tani di kalangan pengusaha IKS tempatan.

Namun begitu, di sebalik keterujaan banyak pihak termasuklah UPM sendiri dengan program seperti MKMF, ramai yang mungkin tidak sedar sejarah awal MKMF dan bagaimana program itu berkembang sebagai satu program bersifat komuniti yang kekal hingga kini.

Malah, hasil pengamatan awal UPM dan keterlibatan penulis sendiri dalam proses perjalanan MKMF dan kesinambungan ekonomi komuniti hari ini, dapat merumuskan beberapa perkara yang menjadi kunci kejayaan kegiatan ekonomi Pulau Tiga yang masih kekal hingga kini.

Program MKMF telah dirasmikan oleh Tan Sri Ali Hamsa pada 25 April 2013 di Kampung Gajah, Perak sebagai usaha kerajaan ketika itu untuk menggalakkan golongan muda tinggal di kampung dan memajukan kampung halaman.

Peranan penulis sudah bermula pada 12 April 2012 apabila dijemput menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat MKMF di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Pemilihan Pulau Tiga berlaku secara tidak sengaja (sepatutnya Bagan Datuk, Perak) kerana keyakinan pengurusan MOA ketika itu yang mahukan katalisnya adalah penulis sendiri yang telah membantu menjayakan MKMF di Merotai, Sabah dan Simunjan , Sarawak.

Bagaimana penulis dapat meyakinkan semua pihak hingga membatalkan pemilihan Bagan Datuk? Biarlah penulis simpan dahulu sebagai kenangan terindah walaupun ia telah mengejutkan pemimpin besar Bagan Datuk ketika itu.

Setelah Pulau Tiga dipilih, penulis menyediakan blue-print atau kertas perancangan pembangunan MKMF di Pulau Tiga. Bukan itu sahaja, banyak pengorbanan lain yang diperlukan dari segi masa dan wang ringgit kerana penulis benar-benar mahu memastikan kejayaan program ini.

Afizah Halim (berbaju putih) bersama pensyarah dan kakitangan UPM di hadapan projek ikan sangkar Pulau Tiga, baru-baru ini.

Namun begitu, MKMF terjejas agak teruk akibat rasa tidak senang sesetengah orang politik yang melihat penulis sebagai ‘ancaman’ politik mereka.

Advertisements

Banyak yang dirancang tersekat dek sifat dendam dan angkuh untuk memperlekehkan usaha anak watan seperti penulis.

Walau bagaimanapun, penulis tetap meneruskan prinsip yang terkandung dalam MKMF, biarpun berhadapan dengan 1001 rintangan. Apabila bertukar kerajaan pada tahun 2018, penulis tetap menggerakkan aktiviti seperti biasa kerana berprinsipkan ‘Government Of The Day’.

Ketika itu MOA memaklumkan bahawa program itu memang masih wujud tetapi tiada peruntukan baru. Penulis terus mempromosikan kegiatan usahawan MKMF tanpa jemu dan sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan, mahupun penggiat MKMF sendiri.

Maka, tidak boleh dinafikan bahawa pembangunan ekonomi yang ada di Pulau Tiga hari ini seperti industri latihan kemahiran, ikan sangkar sungai Perak, pemprosesan makanan, kraf labu dan lain-lain lagi adalah legasi lama yang diperbaharui atau kegiatan ciptaan baru hasil perancangan MKMF 2013. Tanpanya, penulis yakin tidak mungkin berlaku apa yang boleh dilihat hari ini.

Selain latihan kemahiran IGROW, antara yang sangat ketara kejayaan dan prestasinya adalah ikan sangkar Pulau Tiga. Projek ini telah memberi manfaat kepada 30 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak kampung Pulau Tiga.

Industri seumpama ini juga telah berkembang di seluruh Perak Tengah yang kini mampu menyaingi industri ikan di Temerloh, Pahang.

Tokoh yang memimpin kluster ikan sangkar Pulau Tiga ini adalah Zakaria Ji yang dikenali sebagai Pak Ya di kalangan pengusaha dan pegawai jabatan perikanan.

Setelah melawat semua jenis kegiatan pertanian tempohari, penulis dan pasukan UPM tmerumuskan bahawa kunci kejayaan sesuatu projek adalah hasil daripada perancangan dan gerak kerja tersusun seperti MKMF, peranan pengusaha sendiri seperti Pak Ya dan komitmen pegawai seperti Afizah Halim, Penolong Pegawai Perikanan, Ketua Daerah Perikanan (KDP), Perak Tengah.

Penulis secara ikhlas dan jujur membrikan komen tersebut. Contohnya dalam hal komitmen pegawai seperti Afizah , beliau komited sehingga jarang dilihat tidak bersama dalam mana-mana jemputan dan makluman lawatan atau acara yang dianjurkan.

Terbaru ketika lawatan UPM baru-baru ini, beliau bersama pengusaha ikan sangkar di Pulau Tiga walaupun cuti hujung minggu. Seingat penulis, Afizah tidak pernah gagal menghadirkan diri dalam acara penulis, jika dijemput. Itulah sebabnya komitmen beliau sangat dipuji oleh pengusaha ikan sangkar seluruh daerah Perak Tengah.

Penulis dan UPM turut meninjau projek pertanian lain yang kurang memberangsangkan. Secara jujur puncanya juga adalah sikap peserta dan pegawai yang terlibat.

Selalunya yang banyak kontroversi itulah yang bermasalah. Bukan susah, lihat saja dari jauh, maka akan kelihatan semak samun bukti projek yang tidak terurusm jauh berbeza dengan kekemasan ikan sangkar.

Maka rumusannya, sesuatu projek di luar bandar memerlukan pelan perancangan dan katalis yang berkesan. Peserta pula perlu menjadi pemain utama dan disokong oleh pegawai kerajaan yang komited sebagai fasilitator.

Yang baik kita puji dan wajar diberi kredit terbaik, manakala yang lemah kita tegur untuk dipertingkatkan. Hasrat UPM untuk membuat kajian kejayaan sesuatu projek komuniti seperti MKMF dan lain-lain adalah tepat.

Sudah tiba masanya hasil kajian tersebut dijadikan panduan oleh kerajaan dan semua pihak menuju masa depan.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan