BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkilfi Mohamad Al-Bakri melelong jam Rolex miliknya di platform Facebook untuk didermakan kepada rakyat Palestin.
Menerusi hantaran di Facebook, jam mewah itu merupakan hadiah diterimanya daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika menyandang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Menjunjung kasih Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas derma kurnia yang amat bermakna ini.
“Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.
“Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.
“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana.
“Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen,”katanya.
Sehingga jam 3.29 petang tadi, Zulkilfi Mohamad memaklumkan bidaan tertinggi diperolehi kini telah mencecah RM110, 000.
Bidaan akan ditutup pada 31 Oktober 2023 jam 12 tengah malam. – Edisi 9