27.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Zulkifli terkejut pembida jam tangan Rolex individu dikenali

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terkejut setelah mendapati pembida jam tangan jenama Rolex pada harga RM135,000 merupakan individu yang beliau kenali.

Beliau berkata, pembida berkenaan yang enggan dikenali berasal dari Pasir Gudang, Johor telah membuat bidaan tertinggi, tujuh minit sebelum masa lelongan tamat iaitu tepat pukul 12 tengah malam tadi.

Menurut Zulkifli, beliau langsung tidak mengetahui pembida tertinggi jam tangan tersebut sehinggalah individu terbabit hadir di pejabatanya untuk menyerahkan wang tunai bagi mendapatkan jam berkenaan.

“Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex milik saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud kepada pemilik baharu, seorang Hamba Allah dari Pasir Gudang, Johor.

“Sejujurnya saya terkejut kerana mengenali beliau. Beliau hadir di pejabat saya pada jam 3.15 petang untuk menyerahkan wang tunai berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pembida menerima jam tangan mewah jenama Rolex berkenaan sewaktu hadir ke pejabat Zulkifli.

Zulkifli berkata, beliau ada bertanya sebab pembida berkenaan berminat untuk mendapatkan jam tangan Rolex tersebut dan punca individu terbabit membuat bidaan pada saat-saat akhir.

Advertisements

“Pembida ini dengan sebak dan kemudiannya menangis dan jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin,” katanya.

Menurut bekas menteri agama tersebut, beliau akan menyerahkan sendiri wang hasil jualan jam tangan mewah itu sebanyak RM100,000 kepada pelarian Palestin melalui Muslim Care Malaysia di Amman, Jordan.

Manakala baki RM35,000 lagi akan diserahkan kepada lapan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih iaitu Mercy Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, Pas Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction mulai esok.

“Sehingga saat ini, Palestin masih berdarah. Terbaharu saya terima info, kem pelarian Palestin di Jabalia pula dibom tentera Zionis Israel.

“Saya sayang jam ini tetapi saya lebih sayang saudara kita di Palestin. Semoga ini menjadi sejuzuk kecil saksi pengorbanan kecil kami untuk Palestin,” ujar beliau.

Edisi 9 sebelum ini melaporkan Zulkifli melelong dan membuka bidaan jam tangan kesayangannya itu di platform Facebook selama dua hari bermula Isnin untuk didermakan sepenuhnya kepada rakyat Palestin. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lakukan ‘total cleansing’ kumpulan ajaran sesat, ekstrem agama

PIHAK berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa melakukan total cleansing (sapu bersih) terhadap kumpulan ajaran sesat dan...

Lagi Artikel Berkaitan