27.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Peratus kanak-kanak Malaysia kurang nutrisi meningkat

Mesti Baca

PERATUS kanak-kanak berusia di bawah umur lima tahun di negara ini yang mengalami kekurangan nutrisi yang teruk terus meningkat kepada 0.3 peratus, tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berbanding hanya 0.2 peratus jumlah kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara ini yang mengalami kekurangan nutrisi yang teruk pada 2021.

Data terbaharu itu diperoleh menerusi Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Melihat kepada aspek kesihatan katanya, indikator kekurangan nutrisi yang dilaporkan dalam penerbitan berkenaan adalah berdasarkan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun yang hadir ke fasiliti kesihatan negara ini.

“Kanak-kanak negara ini yang berusia bawah lima tahun yang mengalami kekurangan nutrisi yang sederhana turut meningkat 0.1 peratus kepada 1.4 peratus tahun lalu, berbanding hanya 1.3 peratus pada 2021.

“Bilangan kanak-kanak yang terbabit dengan jenayah tahun lalu pula merekodkan penurunan sebanyak 12.8 peratus iaitu 3,013 kes berbanding 3,457 kes pada 2021.

“Bilangan kes jenayah seksual yang membabitkan kanak-kanak meningkat 9.5 peratus tahun lalu dengan 1,621 kes berbanding hanya 1,481 kes pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, berdasarkan statistik anggaran penduduk negara tahun ini, jumlah kanak-kanak bawah usia 18 tahun dianggarkan 9.13 juta membabitkan 27.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, 33.38 juta.

Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan bawah usia 18 tahun masing-masing adalah 4.72 juta dan 4.42 juta.

“Sementara itu, komposisi kanak-kanak bawah usia lima tahun tahun ini adalah berjumlah 2.35 juta dengan 1.21 juta kanak-kanak lelaki dan 1.14 juta kanak-kanak perempuan.

Advertisements

“Kumpulan umur ini membabitkan 25.7 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah usia 18 tahun tahun ini iaitu 41.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Putrajaya, yang berjumlah 120,000.

“Ia diikuti oleh Kelantan (34.4 peratus) dan Terengganu (33.5 peratus).

“Kuala Lumpur mencatatkan peratusan terendah iaitu 22.6 peratus. Bagaimanapun, Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun tertinggi iaitu 1.81 juta, diikuti Johor (1.11 juta) dan Sabah (1.10 juta).

“Bilangan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang terendah direkodkan di Labuan iaitu 300,000,” katanya.

Mohd Uzir berkata, daripada perspektif perlindungan kanak-kanak pula, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan tahun lalu meningkat 10.2 peratus kepada 6,770 orang berbanding 6,144 orang pada 2021.

“Lebih ramai kanak-kanak perempuan yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan iaitu 4,303 orang berbanding kanak-kanak lelaki (2,467 orang) tahun lalu.

“Komposisi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan adalah Bumiputera (73.5 peratus), Cina (7.5 peratus), India (9 peratus) dan Lain-lain (10.1 peratus).

Beliau berkata, penemuan dalam bidang pendidikan menunjukkan bilangan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tahun lalu adalah 4.96 juta.

Katanya, ia meningkat 0.6 peratus daripada sejumlah 4.93 juta pada 2021 manakala bilangan murid di sekolah swasta mencatatkan penurunan 1.2 peratus kepada 420,000 berbanding 430,000 dalam tempoh yang sama. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan