27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Filem seram Islamik pertama Thailand temui penonton esok

Mesti Baca

THAILAND memang tidak asing lagi dengan penghasilan filem-filem seram yang bermutu dan mendebarkan sehingga turut diminati oleh peminat filem seram di Malaysia.

Khong-Khaek: The Djinn’s Curse membawa kelainan besar apabila menjadi filem seram Islamik pertama negara itu, malah filem ini mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan box office sejak ditayangkan di Thailand 28 September lalu.

Apa yang menarik, filem itu turut tular dan menjadi sebutan di Malaysia, malah trailer rasminya sahaja sudah meraih jumlah 3 juta tontonan menerusi akaun TikTok @sukafilem.

Bagi tidak mengecewakan peminat filem seram di Malaysia, Yusrych Global Sdn Bhd membawakan filem terbitan M Thirty Nine Co Ltd dan Monwichit Entertainment ini ke pawagam seluruh Malaysia bermula esok.

Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, Yusry Makmor berkata, pihaknya berminat membawa masuk filem ini untuk tayangan di Malaysia apabila menyedari trailer rasminya menjadi viral sehingga tiga juta tontonan dan diperkatakan orang ramai di media sosial.

Salah satu babak dalam filem Khong-Khaek: The Djinn’s Curse

“Saya percaya filem ini akan pecah panggung apabila ditayangkan di Malaysia, tambahan pula kutipan di Thailand sangat memberangsangkan iaitu sebanyak RM6 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

“Jika melihat pada komen pula, rata-ratanya ramai yang teruja nak menontonnya dan tertanya-tanya bila akan tayang di Malaysia. Akhirnya terjawab apabila filem ini akan ditayangkan bermula esok,” katanya.

Yusry berkata, dia ada bertanya beberapa kenalan dalam industri tentang filem ini dan mereka menyarankan supaya dia membawa masuk untuk tayangan di Malaysia.

Sebelum ini, Yusrych Global Sdn Bhd bertindak sebagai penerbit dan edaran bersama untuk filem Anwar The Untold Story dan Khong-Khaek: The Djinn’s Curse menjadi filem kedua edaran syarikat berkenaan.

Sementara itu, pengarah filem ini, Kriangkrai Monvichit berkata, idea untuk menghasilkan filem ini tercetus selepas isterinya yang suka menulis skrip bersendirian mengadu yang dia sering terdengar bunyi yang aneh dan berasa bulu romanya meremang secara tiba-tiba sehingga dia terpaksa menghentikan hasrat untuk terus menulis.

Advertisements

Hasil dari perbualan itu pasangan berkenaan sepakat untuk menghasilkan sebuah filem seram dan akhirnya terhasil skrip filem Khong-Khaek: The Djinn’s Curse.

Filem ini dibarisi oleh pelakon hebat Thailand seperti Golf-Akara Lucas, Tubtim-Anyarin Terathananpat, Mo-Amena Pinit, Marika Phraekhieocharoen, Piyarat Jatupong, Thiti Phoom-on, Sontana Chitmanee, Hakeem Dhanawicit dan Ahmad Kasemiyah Dolah.

Kriangkrai berkata, mereka mengangkat tema berkaitan jin untuk filem ini kerana mahu penonton lebih memahami kesan dan akibat buruk apabila manusia meminta pertolongan ataupun bersekongkol dengan jin.

Kriangkrai juga tidak menafikan terdapat beberapa kejadian seram dan pelik sepanjang penggambaran dilakukan.

“Ada pelakon yang mengalami gangguan, misalnya ketika pelakon utamanya, Golf berbaring, dia merasakan seperti ada orang berbaring di sebelahnya tetapi apabila dia menoleh, tiada sesiapa di situ.

“Selain itu, ada seorang lagi pelakon iaitu Lee Ping dan beberapa orang kru ternampak suatu kelibat yang pelik sehingga mereka tidak mahu meneruskan penggambaran,” katanya.

Berkongsi harapannya apabila filem ini ditayangkan di Malaysia, sebagai pengarah pastinya Kriangkrai berharap filem itu mendapat sambutan hangat penonton.

“Dari sudut agama dan budaya, memang tidak jauh berbeza dengan Malaysia. Apatah lagi kisah yang dipaparkan adalah tentang masyarakat di Selatan Thailand.

“Oleh itu, saya berharap penonton Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menonton filem ini nanti,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan