PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan simpati ke atas rakan sejawatannya di Myanmar dan Thailand susulan kejadian gempa bumi yang mengorbankan ribuan nyawa kelmarin.
Menurut Perdana Menteri, ketika menghubungi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, beliau menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Malaysia susulan bencana gempa bumi dengan kekuatan 7.7 magnitud itu.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk berdiri bersama rakyat Myanmar dalam menghadapi saat sukar ini.
“Malaysia dan ASEAN akan terus mendukung usaha bantuan kemanusiaan yang sedang giat dijalankan,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Beliau berkata, ini termasuk menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah diatur gerak ke Myanmar pada awal hari ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan.
Selain itu, Anwar berkata, satu misi kemanusiaan yang diketuai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan juga akan berlepas ke Myanmar dalam masa terdekat.
“Saya juga memaklumkan Jeneral Aung Hlaing mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang telah dianjurkan oleh Malaysia pada hari ini bagi mengerakkan sokongan ASEAN kepada Myanmar,” kata beliau.
Ketika menghubungi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, Anwar turut merakamkan rasa dukacita dan simpati yang terdalam atas bencana gempa bumi yang telah melanda negara tersebut.
Katanya, pada kesempatan Perdana Menteri membangkitkan beberapa perkara terkait kedua-dua negara.
Ini termasuk tekad berterusan ASEAN dalam memudah cara dan membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian damai terhadap krisis di negara itu.
“Insya-Allah, perbualan kami pada hari ini akan disusuli dengan perbincangan yang lebih lanjut semasa lawatan kerja saya ke Bangkok pada 17 April 2025 atas jemputan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra,” katanya. – Edisi 9

