28.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 4 dibayar mulai 7 November ini

Mesti Baca

SUMBANGAN Tunai Rahmah (STR) Fasa 4, iaitu pembayaran akhir bagi tahun ini akan disalurkan sebelum perayaan Deepavali secara berperingkat mulai 7 November ini dengan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion kepada 5.5 juta penerima.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, seramai 5.22 juta penerima STR sedia ada bakal menerima bantuan tunai sehingga RM1,200.

Turut menerima bantuan tunai di bawah STR Fasa 4 adalah lebih 280,000 penerima baharu yang diluluskan untuk Rayuan STR 2023.

“Mereka akan menerima sehingga RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing. Pembayaran ini adalah bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk STR 2023 kepada 8.7 juta penerima yang memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia bagi membantu menangani cabaran kos sara hidup.

Sementara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan sebagai penambahbaikan kepada STR 2024, kerajaan akan mengambil pendekatan berbeza bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Advertisements

Katanya, mulai hari ini, individu yang layak boleh membuat permohonan baharu dan mengemas kini maklumat mereka untuk STR 2024 sepanjang tahun berbanding proses permohonan STR 2023 yang hanya dibuat setahun sekali.

“Ini bagi memastikan mereka yang layak namun tiada dalam pangkalan data kerajaan boleh tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat,” katanya.

Selain itu, bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan dan data berkenaan akan disemak silang dengan data daripada beberapa agensi kerajaan bagi memastikan kelayakan STR 2024 mengikut syarat ditetapkan.

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Manakala semakan status pembayaran dan kelulusan rayuan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan