Wednesday, July 22, 2026

Dadah RM11 juta dirampas, sindiket rentas sempadan tumpas

Dua suspek warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan dalam dua serbuan.

Mesti Baca

SINDIKET pengedaran dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan hasil kerjasama erat antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand, dalam operasi khas yang dijalankan baru-baru ini di sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, operasi bersepadu yang turut disertai JSJN Kedah, JSJN Pulau Pinang dan Sekretariat Narkotik Nukleus (SNN) Kedah/Perlis itu berjaya menahan dua suspek warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

“Kedua-dua mereka dipercayai bertindak sebagai transporter dan aktif menyeludup dadah sejak awal tahun ini. Serbuan dilakukan pada petang 15 Jun lalu di dua lokasi berasingan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah hari ini.

Menurut beliau, serbuan pertama menemukan 160 bungkusan heroin base seberat 59.20 kilogram (kg) dalam ruangan khas belakang tempat duduk penumpang kereta Honda Accord yang dipandu suspek lelaki. 

Manakala serbuan kedua pula menemukan 155 bungkusan heroin base seberat 61.26kg dan 35 peket serbuk MDMA (2.37kg) dalam kereta jenis yang sama tetapi dipandu suspek wanita.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 120.46kg Heroin Base dan 2.37kg MDMA, dengan nilai anggaran pasaran mencecah RM10.8 juta.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai secara profesional bagi tujuan penyeludupan dari negara jiran ke Malaysia,” ujarnya sambil memaklumkan bayaran sehingga RM20,000 diberikan kepada suspek untuk satu perjalanan.

Pihak polis turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM66,000 dan kini sedang menyiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 untuk melumpuhkan aset sindiket berkenaan.

Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 16 hingga 22 Jun bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-duanya bebas dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah delegasi kanan ONCB Thailand, termasuk Prin Meknandha dan Santhadham Dee-Anantsiri, serta pegawai tinggi JSJN dan PDRM dari Kontinjen Kedah dan Pulau Pinang.

JSJN dan ONCB bertekad untuk terus memperkukuh jaringan risikan serta operasi rentas sempadan, dan menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat agar sindiket pengedaran dadah dapat dibanteras hingga ke akar umbi. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan