Monday, July 20, 2026

Pegawai AADK lepas penagih, EAIC dedah salah laku

Hasil siasatan mendapati terdapat keterangan menunjukkan beberapa individu yang disahkan positif dadah semasa operasi berkenaan telah dilepaskan begitu sahaja.

Mesti Baca

BEBERAPA pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan didapati melepaskan individu yang positif dadah semasa operasi serbuan di Kampung Felda LBJ, Labu, Negeri Sembilan pada 8 Mac 2023 lalu.

Perkara itu didedahkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) selepas menjalankan siasatan susulan aduan yang diterima di bawah subseksyen 27(4), Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Menurut EAIC, hasil siasatan mendapati terdapat keterangan menunjukkan beberapa individu yang disahkan positif dadah semasa operasi berkenaan telah dilepaskan begitu sahaja.

“Tindakan melepaskan individu yang sepatutnya ditahan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 221 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, EAIC turut mendapati beberapa pegawai AADK yang terlibat gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi berkenaan sepanjang operasi dijalankan.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk dapatan berkaitan kesalahan jenayah kepada Pendakwa Raya selaras dengan peruntukan subperenggan 30(1)(c) Akta 700.

Pada masa sama, siasatan tatatertib terhadap pegawai AADK yang terbabit turut dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib bersama syor tindakan disiplin mengikut subperenggan 30(1)(b) akta sama.

Kes berkenaan menjadi tumpuan selepas aduan diterima melibatkan operasi penguatkuasaan dadah yang dikatakan tidak mengikut prosedur dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat.

Pada 19 Mei lalu, EAIC mengesyorkan pengarah AADK Negeri Sembilan dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib (PBT) untuk dikenakan hukuman kerana mengeluarkan arahan serbuan ke atas sebuah kelab malam pada waktu siang.

EAIC berkata, ini kerana mereka mendapati pengarah terbabit gagal memberi arahan yang tepat kepada pegawai AADK berhubung satu operasi serbuan ke atas sebuah kelab malam di negeri itu.

Katanya, pengarah terbabit dikatakan telah mengeluarkan arahan untuk menjalankan operasi serbuan tersebut pada waktu siang sedangkan aduan yang diterima daripada pengadu berkaitan aktiviti jenayah berlaku pada waktu malam. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan