NEGARA jiran usah iri, kekal ‘ketar-ketir’. Ini setelah lima pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya telah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan ringkas berkata, kelima-lima mereka itu Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado dibenar beraksi dalam perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 bertemu Vietnam malam ini.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kelima-lima pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya telah mendapat kelulusan daripada FIGFA dan boleh beraksi menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini,” kata kenyataan itu.
Dengan keputusan itu bermakna Garces, Machuca, Irazabal, Figueiredo dan Holgado bakal membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski malam ini.
Sebelum ini, usaha Malaysia membawa pulang para pemain warisan yang beraksi di kelab-kelab utama di Eropah dan Amerika Latin mendapat kecaman dari penyokong bola sepak negara jiran.
Mereka mendesak FIFA melakukan siasatan kerana mendakwa pertalian darah pemain terbabit tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Holgado, Machuca, Irazabal dan Figueiredo, masing-masing beraksi di pentas antarabangsa bersama kelab-kelab dari Colombia, Argentina, Azerbaijan dan Turkiye.
Manakala Garcés merupakan tonggak pertahanan Deportivo Alavés dalam saingan La Liga, Sepanyol.
Justeru, bagi para penyokong negara jiran diharap terus kekal memberi sokongan kepada pasukan negara masing-masing dan usah menyibuk dengan negara lain. – Edisi 9

