KERAJAAN mengumumkan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai ini, dengan pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan kos sara hidup kekal terkawal.
Pengumuman dibuat Kementerian Kewangan (MOF) semalam, yang menjelaskan langkah berkenaan sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2025, yang menekankan keperluan menambah hasil negara tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Menurut kenyataan itu, cukai jualan ke atas barangan keperluan harian seperti ayam, daging lembu, udang, buah-buahan tempatan serta input sektor pertanian seperti baja, racun dan jentera kekal pada kadar 0 peratus.
Bagaimanapun, bagi barangan pilihan seperti makanan laut premium termasuk salmon dan kod serta buah-buahan import dan jentera industri, kadar cukai jualan dinaikkan daripada 0 peratus kepada 5 peratus.
Beberapa barangan mewah seperti basikal lumba dan lukisan antik pula dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus.

“Langkah ini tidak dijangka memberi kesan ketara kepada inflasi atau meningkatkan beban kos sara hidup rakyat biasa,” kata MOF.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) kepada enam jenis perkhidmatan baharu iaitu sewaan/pajakan, pembinaan, kewangan, kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Namun, pelbagai ketetapan bersasar diperkenalkan bagi mengurangkan impak kepada rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Antaranya, CP bagi sewaan dan pembinaan hanya dikenakan ke atas premis komersial dan industri, manakala perumahan dikecualikan.
Selain itu, CP untuk sektor kesihatan swasta dan pendidikan tinggi hanya dikenakan ke atas bukan warganegara, manakala sekolah antarabangsa yang mengenakan yuran lebih RM60,000 setahun menjadi antara yang terlibat di bawah skop baharu ini.
Kerajaan turut memberikan tempoh pendaftaran sehingga Ogos kepada syarikat yang terlibat, dengan kutipan CP hanya bermula September 2025.
MOF turut memaklumkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan dipergiat bagi memastikan pelaksanaan SST yang diperbaharui ini tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Langkah ini penting bagi menyediakan ruang fiskal yang mencukupi bagi tahun 2026 dan 2027 serta memastikan bantuan rakyat, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan dapat diteruskan tanpa gangguan,” tambah kenyataan itu.
SST diperkenalkan semula pada 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kini dilaksanakan dengan pendekatan lebih tersasar sejajar keperluan semasa ekonomi negara. – Edisi 9

