Sunday, July 19, 2026

UMNO lancar ‘Buku Panduan Naratif’ perkasa jentera komunikasi

Buku ini disusun sebagai dokumen rasmi untuk memperkasa jentera penerangan parti di semua peringkat bagi menghadapi landskap politik yang semakin mencabar dan dinamik.

Mesti Baca

UMNO memperkukuh keupayaan komunikasi politiknya apabila melancarkan Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia yang akan menjadi rujukan kepimpinan dalam menangkis persepsi musuh dan membina keyakinan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penyelarasan naratif parti secara menyeluruh sangat penting bagi memperkukuh keupayaan komunikasi di semua peringkat, terutama menjelang Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO yang bermula hari ini.

Beliau berkata, buku tersebut menghimpunkan naratif yang telah disampaikan oleh pucuk pimpinan, terutamanya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dijadikan panduan kepada kepimpinan Bahagian menjelang mesyuarat perwakilan.

“Ia mengandungi panduan naratif yang tersusun, terarah dan konsisten serta disusun sebagai rujukan untuk kepimpinan Bahagian dalam menangkis persepsi musuh dan seterusnya membina keyakinan rakyat dengan mesej yang disokong fakta.

“Dalam kata lain, prinsip naratif UMNO adalah di saat lawan menunggang isu dan sentimen, kita tawarkan solusi kepada warga; saat mereka menebar kebencian, kita zahirkan kematangan; saat mereka menghasut dan memecahbelahkan, kita tautkan dan satukan kembali rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku tersebut di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia disusun sebagai dokumen rasmi untuk memperkasa jentera penerangan parti di semua peringkat Pusat, negeri dan akar umbi bagi menghadapi landskap politik yang semakin mencabar dan dinamik.

Ia turut merangkumi garis panduan komunikasi strategik merangkumi aspek pengurusan krisis, reaksi pantas terhadap isu semasa, panduan visual media sosial serta rangka kerja komunikasi dasar-dasar utama negara.

Sementara itu, Mohd. Sumali berkata, buku panduan itu penting untuk memastikan keseragaman mesej yang dibawa oleh seluruh jentera penerangan UMNO.

“Buku ini memastikan setiap mesej disampaikan secara seragam dan menyokong nilai-nilai perjuangan UMNO secara konsisten,” katanya.

Buku Panduan Naratif kini boleh diakses oleh semua Bahagian UMNO, unit penerangan serta sayap-sayap parti, lengkap dengan fail PDF, templat digital serta modul latihan yang boleh dimuat turun menerusi portal rasmi dan saluran media sosial UMNO. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan