DATUK Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak pernah berbincang atau merancang untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK) susulan keputusannya mengundurkan diri daripada UMNO dan memohon untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, keputusan itu dibuat secara peribadi tanpa sebarang kaitan dengan usaha mencetuskan PRK sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini.
“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab desas-desus dan spekulasi yang mengaitkan penghijrahan politiknya dengan kemungkinan penyertaan dalam PRK di beberapa kawasan Parlimen.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, beliau akan kekal menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatannya pada Disember 2025.
Mengenai kedudukannya dalam Kabinet, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” katanya lagi.
Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa keputusan meninggalkan UMNO dibuat atas dasar prinsip dan pertimbangan peribadi selepas meneliti pelbagai pandangan.
Katanya, ia bukan keputusan yang mudah namun perlu dilakukan demi kelangsungan perjuangan dan hasrat untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.
“Saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini, dan saya ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, sahabat-sahabat dalam MKT UMNO serta akar umbi, khususnya di Bahagian Kota Raja,” ujarnya.
Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO dan melepaskan semua jawatannya dalam parti termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Pada masa yang sama beliau turut bercadang untuk menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mana tindakan beliau telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli dan pemerhati politik tanah air. – Edisi 9

