UMNO mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan Biro Undang-Undangnya meneliti secara mendalam implikasi perundangan susulan tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan parti itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penilaian itu termasuk menyentuh kedudukan Tengku Zafrul sebagai seorang senator di Dewan Negara dalam konteks Akta Antilompat Parti.
Menurut beliau, UMNO memandang serius isu tersebut kerana kedudukan dalam Jemaah Menteri, termasuk pelantikan sebagai senator, adalah atas mandat dan kuota parti bukannya atas kapasiti peribadi.
“Saya telah meminta Biro Undang-Undang UMNO untuk meneliti kesan dan ruang perundangan yang ada, termasuk aspek berkaitan Akta Anti-Lompat Parti serta status lantikan senator.
“Langkah ini penting bagi memastikan segala tindakan selanjutnya berlandaskan kerangka perundangan yang sah dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina menegaskan, walaupun Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Kerajaan Perpaduan, setiap pelantikan menteri adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing.
“UMNO kekal komited dalam usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan dan terus menunaikan amanah yang diberikan rakyat.
“Namun, kita juga perlu mempertahankan prinsip keadilan terhadap parti yang mengangkat seseorang ke posisi tertentu dalam kerajaan,” tegas beliau.
Sementara itu, Azalina menyeru seluruh ahli dan penyokong UMNO agar tidak terpengaruh dengan permainan politik individu, sebaliknya terus fokus kepada perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
“Politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti mesti kekal utuh,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO dan melepaskan semua jawatannya dalam parti termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Pada masa yang sama beliau turut bercadang untuk menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mana tindakan beliau telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli dan pemerhati politik tanah air. – Edisi 9

