YAYASAN Pelajaran MARA (YPM) menyalurkan bantuan kilat sebanyak RM1,000 kepada setiap pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bantuan itu bagi meringankan beban mangsa dan keluarga, terutamanya mereka yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi menyayat hati itu.
“Saya mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan YPM turun sendiri ke Hospital Gerik bagi menziarahi mangsa dan bertemu keluarga mereka.
“Suasana amat pilu, lebih-lebih lagi ada waris yang baru tiba dari Jerteh dan menerima khabar duka sebaik sampai,” katanya ketika ditemui media di pekarangan hospital.
Menurutnya, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen MARA melalui YPM untuk sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, terutamanya dalam situasi kecemasan dan luar jangka.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan tekanan emosi dan kewangan keluarga mangsa.
“Apa yang lebih penting kini adalah memberi sokongan moral dan memastikan semua pelajar yang cedera menerima rawatan terbaik,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan mangsa dan bersedia menyalurkan bantuan susulan jika diperlukan.
“Kita mendoakan agar semua mangsa cepat sembuh dan keluarga yang terlibat terus diberi kekuatan untuk melalui ujian ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, bas yang membawa 44 penumpang termasuk 42 pelajar UPSI dari Jerteh ke Tanjung Malim terbabit kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza.
Akibatnya, bas tersebut hilang kawalan dan terbalik dan mengorbankan 15 pelajar UPSI manakala yang lain mengalami kecederaan. – Edisi 9

