NEGARA dikejutkan dengan tragedi menyayat hati awal pagi tadi apabila sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam nahas ngeri berhampiran Gerik, Perak mengorbankan 15 nyawa.
Berdasarkan laporan awal, bas dari Jerteh, Terengganu yang membawa 42 pelajar itu dipercayai berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, kira-kira pukul 1.10 pagi.
Sebanyak 13 jenazah disahkan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi diuruskan di Hospital Gerik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail menzahirkan rasa sedih mendalam atas kejadian tersebut.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
“Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya menerusi media sosialnya.
Susulan tragedi itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPSI segera menggerakkan bilik gerakan khas serta membuka talian hotline bagi menyelaras maklumat dan bantuan kepada keluarga mangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang kini dalam perjalanan ke Hospital Ipoh, turut menyatakan rasa pilu dan menegaskan komitmen kementeriannya dalam membantu semua yang terlibat.
“Saya amat sedih dan terkesan dengan tragedi ini. Saya doakan segala urusan mangsa dipermudahkan dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan.
“KPT dan UPSI telah menggerakkan pelbagai bentuk bantuan termasuk sokongan psikososial dan logistik,” katanya.
Dalam masa sama, Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik turut membantu menyediakan penginapan sementara untuk keluarga mangsa yang kini mula tiba di hospital.
Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam buat seluruh warga pendidikan negara. Ramai yang menggesa agar siasatan penuh dijalankan dan langkah keselamatan diperketatkan, terutama bagi kenderaan melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi.
Al-Fatihah! – Edisi 9

