Thursday, June 4, 2026

Data telefon bimbit dianonim, privasi pengguna terpelihara – Telco

Pakar dalam bidang keselamatan data menyifatkan jaminan syarikat-syarikat telekomunikasi ini sebagai penting bagi meredakan kebimbangan awam.

Mesti Baca

SYARIKAT-SYARIKAT telekomunikasi (telco) utama negara tampil memberikan jaminan bahawa data telefon bimbit yang dikumpulkan dan dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

Jaminan tersebut hadir susulan kenyataan media oleh MCMC semalam, yang menjelaskan mengenai inisiatif kerajaan menggunakan Data Telefon Bimbit (MPD) sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan ketepatan statistik rasmi negara.

Menurut kenyataan Maxis, sebagai syarikat pengendali rangkaian mudah alih yang bertanggungjawab, privasi dan keselamatan data pelanggan sentiasa menjadi keutamaan utama.

“Tiada akses, pemprosesan atau perkongsian maklumat pengenalan peribadi berlaku pada sebarang peringkat. 

“Semua data yang dikongsi telah dianonimkan dan diproses secara agregat dalam persekitaran yang selamat serta mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010,” jelas dalam kenyataan hari ini..

Nada yang sama turut dizahirkan oleh Telekom Malaysia (TM) yang menegaskan bahawa pengemukaan data berkenaan kepada MCMC dilaksanakan mengikut tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, selaras dengan dasar syarikat dan perundangan negara.

U Mobile pula menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan SKMM demi menjayakan inisiatif berimpak tinggi ini.

“Kami memastikan data yang dikongsi telah dinyahtentuan (anonim), diagregatkan dan dikendalikan mengikut undang-undang perlindungan data yang berkuat kuasa. Tiada sebarang maklumat peribadi pelanggan diproses atau dikongsi,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Dalam pada itu, YTL Communications Sdn. Bhd. dan CelcomDigi turut menegaskan bahawa privasi pelanggan kekal menjadi teras kepada setiap tindakan syarikat, dan setiap data yang dikemukakan telah melalui proses penganoniman sepenuhnya.

CelcomDigi dalam kenyataannya menambah, pihaknya melaksanakan semakan berkala ke atas protokol keselamatan data dan dipantau oleh Pegawai Perlindungan Data yang dilantik serta diselia oleh Lembaga Pengarah.

Sementara itu, usaha MCMC untuk menggunakan MPD sebagai data sokongan dalam penyusunan statistik nasional dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh dasar awam, terutama dalam aspek perancangan bandar, mobiliti penduduk dan keperluan infrastruktur digital.

Pakar dalam bidang keselamatan data menyifatkan jaminan syarikat-syarikat telekomunikasi ini sebagai penting bagi meredakan kebimbangan awam.

“Data yang telah dianonimkan tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti individu. Ia memberikan maklumat agregat yang penting untuk analisis pola pergerakan dan keperluan rakyat secara keseluruhan,” kata seorang pensyarah kanan dalam bidang sains data di sebuah universiti tempatan.

MCMC dalam kenyataannya sebelum ini memberi jaminan bahawa segala pengumpulan dan penggunaan MPD adalah berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban, keselamatan dan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang negara.

Inisiatif ini menandakan langkah ke hadapan dalam penggunaan teknologi data raya untuk manfaat rakyat dan negara, dengan memastikan hak privasi rakyat terus dijaga. 

Komitmen syarikat-syarikat telekomunikasi untuk mematuhi garis panduan serta undang-undang sedia ada mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta demi kemajuan bersama.

“Rakyat tidak perlu khuatir. Data anda selamat, dan negara bergerak maju bersama teknologi,” kata MCMC. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan